JAKARTA – Seorang lelaki di Bekasi, wilayah Jawa Barat menunjukkan aksi samseng dengan mengancam seorang pekerja restoran makanan segera selepas permintaannya untuk mendapatkan ayam goreng secara percuma ditolak, lapor laman berita Okezone.
Berdasarkan video yang dikongsikan di laman sosial, lelaki berbaju merah itu dilihat pergi ke kaunter restoran bersama beberapa rakannya.
Dia kemudian meminta dua ketul ayam goreng daripada pekerja.
“Bagi saya dua ketul ayam? Boleh?” soalnya kepada pelayan restoran.
Pekerja itu menolak permnintaan tersebut sambil memberitahu bahawa kedai itu bukan miliknya.
Ia membuatkan lelaki berkenaan berkeras dan meminta ayam secara kasar.
“Kedai ini siapa yang punya?” katanya.
“Orang yang punya,” jawab pekerja yang sama.
“Sila beritahu pemiliknya,” tambah lelaki itu lagi lalu dia cuba mengambil ayam goreng secara paksa.
Pekerja tersebut cuba menghalang tindakan itu sebelum lelaki berkenaan mengetuk meja dengan kuat.
Tidak dinyatakan punca dia bertindak demikian, namun Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Metro Bekasi, Komisioner Polis Audy Joize Oroh berkata, kejadian itu sedang disiasat. – AGENSI