PARIS – Jurulatih Paris Saint-Germain (PSG), Luis Enrique sedia meletakkan harapan kepada pemain sayap, Ousmane Dembele menjelang aksi sulung Liga Juara-Juara (UCL) menentang Girona di Parc des Princes awal pagi esok.
Pemain antarabangsa Perancis itu dianggap berada pada prestasi terbaik apabila sudah menjaringkan tiga gol dalam empat perlawanan Ligue 1 setakat ini, termasuk dua gol ketika menewaskan Brest 3-1 Ahad lalu.
Justeru, Enrique percaya bekas pemain Barcelona itu mampu mengekalkan rentak konsisten dan menjadikan Girona sebagai mangsa seterusnya dalam usaha memastikan PSG meraih tiga mata penting.
“Secara jujur, saya sangat meminati gaya permainan Dembele untuk tempoh yang lama kerana dia sangat berbeza dengan pemain-pemain lain. Dia boleh beraksi di bahagian kanan atau kiri selain bijak dan pantas.
“Apabila memiliki pemain seperti ini, saya anggap ia sebagai keistimewaan dan sudah tentu mengharapkan sentuhannya ketika bertemu Girona nanti. Selain jaringan, dia juga mampu membantu rakan sepasukan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau juga mampu menarik nafas lega apabila pemain-pemain seperti Marquinhos, Marco Asensio dan Achraf Hakimi berada dalam keadaan cergas sepenuhnya selepas direhatkan ketika bertemu Brest.
“Pasukan ini memiliki ramai pemain yang serba boleh dan disebabkan itu, kami boleh merehatkan beberapa pemain penting ketika bertemu Brest. Ia sangat penting dalam misi kami memenangi lebih banyak kejuaraan,” ujarnya. – AGENSI