fbpx

Lebih 100 rumah dilanda banjir di Nibong Tebal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan banjir di Kampung Sungai Kechil, Nibong Tebal, hari ini. - Foto oleh IQBAL HAMDAN/KOSMO!

SEBERANG PERAI – Lebih 100 buah rumah di sekitar kawasan Parlimen Nibong Tebal di sini terjejas selepas kediaman mereka dilanda banjir akibat hujan lebat sejak malam tadi.

Antara kawasan yang terlibat adalah di Jawi, Sungai Kechil, Kampung Besar, Taman Cenderawasih, Kampung Sungai Buaya, Kampung Sungai Udang, Taman Nibong Tebal, Kampung Sanglang, Kampung Setthu dan Taman Ilmu.

Difahamkan, air daripada sungai berhampiran mula melimpah tebing pada pukul 8 pagi selepas hujan turun sejak malam tadi, malah air dari kawasan bukit turut melimpah memasuki kawasan rumah penduduk.

Seorang penduduk, Mohd Zabidi Embi, 52, berkata, air mula naik dengan pantas awal pagi tadi sehingga mencapai paras pinggang di kawasan rumahnya di Kampung Sungai Kechil, di sini.

“Sebelum ini memang kawasan ini kerap berlaku banjir, namun kali ini air naik dengan pantas dan parasnya juga tinggi. Saya mula mengalih perabot ke tingkat atas rumah sejak malam tadi selepas hujan turun dengan lebat kerana bimbang banjir berlaku.

“Jangkaan saya memang tepat kerana pagi ini banyak kawasan telah dilanda banjir dan air sungai naik dengan pantas,” katanya di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Nibong Tebal yang juga Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, setakat ini tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka, namun pihaknya telah mengarahkan semua pihak bersedia jika terdapat keperluan untuk memindahkan mangsa banjir.

“Keadaan banjir kali ini membimbangkan dan kita perlukan kerjasama semua agensi khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk memastikan keselamatan orang ramai.

“Ada rumah yang agak teruk dan perlu pemindahan segera. Kita minta yang terlibat dengan pemindahan ini patuhi arahan dan nasihat pihak berkuasa demi keselamatan,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI