PETALING JAYA – Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) yang dimansuhkan sejak tahun 2022 wajar dikembalikan semula.
Ini kerana kata bekas Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid, peperiksaan tersebut sebelum ini telah terbukti menjadi teras kepada aspek kemenjadian murid.
“Saya berpandangan bahawa kedua-dua peperiksaan UPSR dan PT3 itu ada nilainya yang tersendiri dan ia menjadi salah satu komponen yang penting di dalam sistem pendidikan kita sejak sekian lama.
“Jadi saya melihat perkara itu ada kewajarannya untuk diadakan semula kerana ia telah terbukti menjadi teras kepada aspek kemenjadian murid sepertimana yang kita mahukan untuk anak-anak generasi pewaris masa depan negara kita,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mahdzir berkata, pemansuhan UPSR dan PT3 oleh Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Mohd Radzi Jidin, pada 2022 itu dibuat dalam situasi tergesa-gesa dan tanpa melakukan kajian mendalam.
Katanya, pemansuhan peperiksaan itu yang digantikan dengan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) dan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) telah memberi kesan kepada penilaian sebenar tahap pencapaian pelajar.
“Saya melihat kaedah pentaksiran PBD dan PBS itu tidak menggambarkan tahap sebenar kemampuan pelajar berbanding menerusi penilaian berasaskan sistem peperiksaan.
“Kaedah pentaksiran tersebut juga saya fikir telah memberi beban tambahan kepada guru-guru kelas,” ujarnya.
Justeru ujarnya, saranan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid supaya UPSR dan PT3 disemak dan dirombak semula perlu dilihat secara positif oleh Kementerian Pendidikan.
Malah katanya, kesan pemansuhan UPSR dan PT3 mula terlihat apabila isu keciciran kira-kira 10,177 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lepas berpunca daripada masalah membaca, menulis dan mengira (3М). – KOSMO! ONLINE