MUAR – Peguam probono, Datuk Ahmad Zaharil Muhaiyar yang mewakili ‘Abang bas’ memaklumkan ahli keluarga tertuduh akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana individu termasuk selebriti yang menyebarkan pelbagai tohmahan kepada anak guamnya.
Menurutnya, pihaknya telah mengenal pasti beberapa individu yang terlibat dan menasihati agar permohonan maaf segera dibuat kepada ahli keluarga serta tertuduh sebelum tindakan saman diteruskan.
“Pasti (terus menjadi peguam probono tertuduh), sesiapa yang nak minta maaf, minta maaf cepat jangan sampai kita ke mahkamah. Iya lah masing-masing nak tunjuk cerdik pandai.
“Kita telah kenal pasti (individu) ramai, kepada haters yang buat komen saya cadangkan pecahkan tabung-tabung yang ada, tabung buluh, tabung ayam, kira siap-siap (duit) jadi senang kerja kami (saman),” katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan Kompleks Mahkamah Muar, hari ini.
Ditanya sama ada individu terlibat turut membabitkan selebriti, beliau tidak menafikan perkara tersebut.
“Mengapa tidak (selebriti), siapa-siapa sajalah. Sebab selama lima, enam hari ini dia (tertuduh) dihentam seperti tiada nilai, macam tidak ada waris dan ini tidak adil, undang-undang yang ada sangat jelas,” katanya.
Tambahnya, pihaknya juga akan cuba mendapatkan semula bas sekolah yang disita oleh pihak polis dan pengurangan jaminan.
“Dalam masa terdekat ini kita akan membuat permohonan, afidavit semua dah siap untuk kita tandatangani. Saya janji untuk bawa dia balik (ke pangkuan keluarga).
“Kita kena lihat perspektif keseluruhan dan bila ada yang kata dia pedofilia itu tidak adil, you semua tidak kenal pun dia tiba-tiba rasa cerdik pandai. Paling mengecewakan adalah dia berada di situasi yang tidak dapat mempertahankan dirinya,” ujarnya.
Terdahulu, tertuduh berusia 24 tahun ditahan sejak 6 September lalu dan didakwa di Mahkamah Sesyen Muar atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal dan bukan fizikal terhadap dua kanak-kanak termasuk anak saudaranya berusia empat tahun.
Bagi perbuatan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) dan 15(a)(iii) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 14 dan 15 akta sama.
Dia yang sebelum ini juga tular selepas memuat naik rakaman video penumpang bas sekolah sebagai ‘crush’ atau ‘kesayangan’ turut didakwa di Mahkamah Batu Pahat atas pertuduhan membuat dan menghantar komen bersifat jelik terhadap video seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun dan didakwa mengikut Seksyen 233(3) akta sama.