fbpx

PDRM tidak akan berbincang dengan GISBH – Razarudin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Razarudin.

KUALA LUMPUR – Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain menegaskan tiada keperluan untuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengadakan perbincangan dengan pengurusan Global Ikhwan Service and Business Holding (GISBH) susulan Op Global yang dijalankan, 11 September lalu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pelawaan Pengerusi Eksekutif GISBH, Datuk Nasiruddin Mohd Ali mengadakan perbincangan rentetan tindakan polis menyerbu 20 rumah amal kendalian syarikatnya, 11 September lalu.

Tambah Razarudin, PDRM tidak pernah mengadakan perbincangan dengan individu atau syarikat yang sedang dalam siasatan.

Justeru itu, beliau turut menegaskan tiada pertemuan atau perbincangan dilakukan antara pihak GISBH sebelum ini.

“Adakah kita perlu berbincang dan menyiasat dengan bukti yang kita ada.

“Sebagai contoh rumah disamun dan kita kenal pasti penjenayah, adakah perlu saya bincang dengan penjenayah itu? Adakah itu tindakannya?” katanya pada sidang akhbar di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Razarudin berkata, tiada perbincangan akan diadakan berikutan siasatan dijalankan menjurus kepada Akta Kanak-Kanak 2001, Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 (AMLA).

Jelasnya, beliau memberi keyakinan bahawa siasatan dijalankan secara telus dan adil kepada semua pihak.

Kata beliau, siasatan turut dilakukan agensi lain termasuk Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Beliau berkata, ia bagi memastikan siasatan adalah menyeluruh daripada pelbagai sudut termasuk kesalahan mengikut Akta Pendidikan dan Akta Pusat Jagaan.-KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI