KOTA BHARU – Seorang jururawat sebuah pusat jagaan berpantang didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mendedahkan seorang bayi lelaki yang baru berusia 30 hari sehingga menyebabkannya mengalami kecederaan pada minggu lalu.
Tertuduh, Nur Ain Natasha Mohd. Sabri, 22, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.
Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap seorang bayi lelaki iaitu Choo Jyn Hern yang berusia 30 hari telah mendedahkan bayi itu dengan cara yang mungkin akan menyebabkannya mengalami kecederaan.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah pusat jagaan berpantang di Batu 3, Jalan Sultan Yahya Petra di sini kira-kira pukul 4.47 pagi hingga 5.30 pagi pada 9 September lalu.
Nur Ain Natasha didakwa mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31 (1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Edabayu Subhan manakala tertuduh diwakil peguam, Nur Alini Ahamad Kamil.
Terdahulu, Siti Edabayu tidak mencadangkan jaminan kerana kes tersebut melibatkan kesalahan serius selain memohon mahkamah mengambil kira kepentingan mangsa, keluarga dan orang awam.
Nur Alini dalam rayuannya memohon satu ikat jamin yang minimum kerana tertuduh sudah memberi kerjasama sepanjang siasatan kes dijalankan.
“Tertuduh yang masih bujang dan tinggal di rumah pusaka keluarganya sudah bekerja di pusat berpantang itu selama setahun dengan pendapatan RM9 sejam atau secara purata RM2,200 sebulan.
“Saya percaya tertuduh tidak akan melarikan diri dan memberi kerjasama untuk hadir ke mahkamah pada prosiding perbicaraan sekiranya jaminan dibenarkan,” katanya.
Mahkamah kemudian membenarkan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin selain menetapkan syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melapor diri di balai polis berdekatan setiap bulan dan tidak menggangu saksi pendakwaan.
Mahkamah turut menetapkan 13 Oktober depan untuk sebutan semula kes.
Tertuduh membayar jaminan yang ditetapkan mahkamah.- KOSMO! ONLINE