fbpx

‘Moga individu menyimpang ditahan, dihukum’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BETTY Banafe mengakui perlu mendapatkan bukti secara tabayyun dahulu sebelum menyebarkan berita tidak pasti.

PETALING JAYA – Sehari selepas memuji kebaikan Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISB), pelakon Betty Banafe mengakui perlu mendapatkan bukti secara tabayyun dahulu sebelum menyebarkan berita tidak pasti.

Betty atau nama sebenarnya Betty Ibtisam Abu Bakar Banafee, 44, berkata, tabayyun atau proses pemantauan berita serta peristiwa memerlukan seseorang individu lebih berhati-hati membuat kesimpulan.

“Maaf GISB, saya terpaksa mencari kebenaran untuk mendapatkan jawapan dengan menghubungi ustaz, ulama dan cerdik pandai sementara polis menjalankan siasatan.

“Mufti sepatutnya menjadi rujukan ketika kesilapan wujud dalam (pengurusan) GISB,” katanya menerusi TikTok

Semalam, Betty meminta orang ramai agar tidak cepat menjatuhkan hukum berhubung kontroversi panas syarikat berkenaan.

Menerusi hantaran sama, Betty turut
meluahkan harapan agar individu yang menyimpang daripada landasan dikenakan tindakan tegas.

Katanya, dia sendiri tidak bersetuju jika berlakunya kesalahan dalam organisasi terbabit yang seharusnya diberi perhatian.

“Tidak mustahil ada juga ahli GISB yang kehilangan kuasa, organisasi itu besar dan pastinya visi mereka adalah berdasarkan perjuangan dakwah di seluruh dunia.

“Semoga individu yang menyimpang ditahan dan dihukum setimpal dengan kesalahan dilakukan.

“Saya sendiri berharap perkara ini menemui penamatnya dan bersabar menunggu siasatan selesai,” ujarnya.

Semalam Betty berkata, kesalahan seharusnya diletakkan di bahu individu yang terlibat, bukan keseluruhan organisasi tersebut.

Dalam hantaran tersebut, dia mengakui berbangga dengan kewujudan GISB kerana memberikan imej kuat dalam ekonomi yang dikuasai pengamal beragama Islam.

Begitupun, pujiannya mengundang kecaman bahkan dia dianggap tidak sensitif terhadap nasib ahli dan kanak-kanak yang dianiaya serta dizalimi.

Rabu lalu, media melaporkan 20 premis pusat jagaan dan rumah amal di Selangor dan Negeri Sembilan yang dikaitkan dengan GISB diserbu polis.

Dalam serbuan Op Global itu, polis menyelamatkan 402 kanak-kanak dan remaja berusia setahun hingga 17 tahun, selain menahan 171 individu yang mengendalikan premis terbabit untuk siasatan lanjut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI