JIKA bercakap tentang fesyen avant-garde, apa yang terbayang di minda adalah koleksi pakaian yang lain daripada yang lain, berani dan rekaan yang sedikit tidak konvensional.
Bahkan, avant-garde yang merujuk kepada gerakan dan budaya artistik bercirikan pendekatan eksperimental menjadikan busana dengan tema ini sebagai satu busana bersifat percubaan dan dihasilkan dengan penuh kreatif.
Potongan oversized dan pemakaian baju dengan tekstur dan kelabuhan berbeza adalah antara ciri busana avant-garde yang memberikan karakter unik pada penggayaannya.
Pokoknya, fesyen avant-garde adalah berpaksikan keberanian pemakai dalam bereksperimen dengan bentuk, corak dan warna berbeza tatkala bergaya.
Ia juga adalah bagaimana kita menyuaipadankan pakaian sedia ada bagi menghasilkan sesuatu yang tidak dijangka.
Asal usul fesyen ini dipercayai bermula sejak 1920-an daripada pereka-pereka fesyen di Jepun.
Nama-nama besar seperti Yohji Yamamoto dan Rei Kawakubo adalah antara pereka fesyen kelahiran negara matahari terbit itu yang dijadikan inspirasi bagai gaya avant-garde.
Jika di negara ini, busana avant-garde sinonim dengan sosok seorang pereka fesyen muda berbakat besar iaitu Ahmad Masyadi Hussaini Che Mansor, 28, atau lebih dikenali sebagai Masyadi Mansor.
Masyadi menerusi label MSYD miliknya mula dikenali menerusi penghasilan jaket puffer yang kini menjadi rekaan signaturnya.
Malah, bekas penuntut jurusan fesyen dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam itu juga merupakan individu di sebalik gaya ikonik penyanyi terkenal, Aina Abdul dan juga kulit depan album pertama bagi kumpulan Dolla.
Ujar Masyadi, labelnya itu merupakan label pakaian streetwear, namun dengan sentuhan mewah.
Malah, dia juga berani bereksperimen dalam menghasilkan sesuatu yang baharu dan unik buat penggemar gaya avant-garde di negara ini.
“Untuk MSYD, saya sebenarnya banyak bereksperimen dengan pelbagai elemen dalam penghasilan sesuatu busana seperti fabrik dan siluet,” katanya kepada Stailo.
Rekaan MSYD cukup berbeza berbanding label streetwear yang lain kerana setiap busana yang dihasilkannya sarat dengan emosi dan karakter tersendiri.
Baginya, asas bagi sesebuah gaya streetwear itu adalah self-expression dan juga cara meraikan individuality seseorang.
Selain itu, kebanyakan busananya didominasi warna-warna gelap memandangkan Masyadi juga secara peribadi amat menggemari warna hitam.
Masyadi yang juga tahun lalu dinobatkan sebagai penerima anugerah ‘Best Emerging Designer Award’ oleh Kuala Lumpur Fashion Award berkata, inspirasi untuk menghasilkan pakaian avant-garde itu lazimnya datang secara rawak.
“Inspirasi biasanya datang secara rawak kepada saya, contohnya ketika saya sedang menunggang motosikal atau sebelum tidur.
“Selain itu, sebelum menghasilkan sesuatu busana, saya juga akan bertanya kepada diri sendiri, apa yang mahu saya tonjolkan dalam rekaan tersebut,” kongsinya.