fbpx

Suami terlantar, isteri jual tapai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Siti Norashida di samping suaminya yang terlantar di rumah di Felda Cempaka Jengka 2, Maran.

MARAN – Seorang wanita tidak menyangka akan mengambil alih tugas sebagai ketua keluarga selepas suami yang diharapkan kini lumpuh akibat terjatuh pokok kelapa hingga menyebabkan kece­deraan parah kesan hentakan kuat.

Siti Norashida Rosli, 32, berkata, suaminya, Ismail Awang, 47, cedera pada tulang belakang, pinggang dan pinggul akibat kejadian yang berlaku pada 2014 itu.

Katanya, Ismail yang berasal dari Kampung Bukit Bator Gunung Bachok, Kelantan tidak mampu bekerja akibat komplikasi tersebut.

“Saya hanya bergantung kepada jualan tapai yang tidak seberapa untuk menampung ke­perluan harian.

“Suami sebelum ini boleh juga melakukan kerja ringan selepas menerima rawatan, namun sejak tiga tahun lalu kesihatannya semakin merosot dan hilang upaya untuk menyara keluarga,” katanya

ketika ditemui di Felda Cempaka Jengka 2 di sini baru-baru ini.

Menurut Siti Norashida, suaminya kini terlantar kerana pergerakan yang terbatas selain perlu dibantu untuk semua urusan harian.

Tambahnya, kejadian itu berlaku ketika suaminya mengambil upah memanjat pokok kelapa sebelum terpegang pelepah tua lalu terjatuh pada ketinggian le­bih 14 meter.

“Selepas itu dia dikejarkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian sebelum disahkan mengalami kecederaan parah pada tulang belakang.

“Suami sepatutnya menjalani pembedahan membetulkan tulang pinggul pada bulan November tahun lalu tetapi ditangguhkan atas faktor kewangan dan bimbang lumpuh seluruh badan sepanjang hayat,” katanya.

Ujar Siti Norashida, dia buntu meneruskan kehidupan kerana tiada punca pendapatan dan bergantung hidup dengan pendapatan RM500 sebulan dan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat RM300.

“Kami perlu belanja RM2,000 sebulan bagi membeli enam tin susu khas, lampin pakai buang selain memerlukan katil mudah laras dan kerusi roda,” katanya.

Menurut Siti Norashida, dia juga memerlukan wang untuk membaiki rumah arwah nenek yang didiaminya kini kerana sudah mula mereput.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun BSN Ismail di 0600441100048067 atau ­menghubungi Siti Norashida di talian 011-3939 2952.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI