fbpx

‘Saya gigih periksa waktu subur, sesuai hamil’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BERKAHWIN kali kedua, Jue Aziz kini mahu segera hamil.

KUALA LUMPUR – Hampir sebulan menamatkan zaman solo, pelakon Jue Aziz mahu segera merealisasikan impian ibu untuk melihat dirinya memiliki zuriat sendiri.

Ujar Jue atau nama sebenarnya, Zuliana Abdul Aziz, 41, dia juga sedang berusaha mendapatkan anak sebelum insan kesayangan menutup mata malah perkara itu juga antara faktor yang menggerakkan hatinya untuk kembali berumah tangga.

“Buat masa sekarang, saya dalam proses mencuba untuk hamil (TTC), memang tak tunggu lama sebab emak saya pun bukan sihat mana.

“Mak selalu cakap dia teruja untuk saya ada anak sendiri, dia sekarang pun sedang sakit, saya pun risau takut apa-apa terjadi.

“Sebab itu saya kahwin cepat-cepat sebab saya mahu luangkan masa lebih banyak bersama mak, jadi senang untuk ke mana-mana,” katanya kepada Kosmo! Online.

Demi merealisasikan impian hamil, pelakon filem Hantu Bonceng itu menitikberatkan waktu subur selain tidak segan meminta doa daripada orang ramai.

“Saya tidak pernah malu untuk minta doa daripada sesiapa untuk cepat hamil sebab dahulu saya tunggu lama tapi tidak berjaya.

“Sekarang saya memang gigih periksa waktu subur dan sesuai hamil sebab saya sudah 41 tahun, kalau lambat takut mak tak sempat tengok.

“Itu yang saya sedih sebab saya seorang sahaja dalam adik beradik yang tiada anak. Ada sekarang ni pun anak angkat,” ujarnya pada sidang media filem Miftah Alam, di sini, hari ini.

Ditanya tentang perkahwinan keduanya yang hanya memilih pasangan bukan kalangan orang industri hiburan sebagai suami, Jue percaya takdir Tuhan yang mengatur segalanya.

Enggan pisang berbuah dua kali, Jue berharap perkahwinan kali ini juga kekal buat sehingga ke akhirnya.

“Saya tidak memilih hanya yang kaya sahaja. Saya terima sahaja mana yang ditakdirkan untuk saya dari dahulu lagi. Saya terima sahaja siapa yang hadir cuma paling penting saya boleh selesa dengan dia.

“Kalau orang saya atau kata cinta saya memang ramai, tapi untuk dapatkan yang selesa itu yang mahal. Bila selesa, apa sahaja yang dibuat kita akan faham antara satu sama lain.

“Sayang ini mudah untuk diungkapkan, tapi hendak cari yang selesa itu tidak mudah. Harap-harap inilah yang terakhir,”

Terdahulu, Jue mengejutkan orang ramai apabila berkongsi video majlis pernikahannya yang berlangsung di Masjid Abu Al-Darda, Nilai, Negeri Sembilan dalam Instagram miliknya.

Terdahulu, hampir lima tahun menjanda, Jue mendedahkan sudah bertemu jodoh dengan seorang lelaki dikenali sebagai Ridwan, 35.

Mereka melangsungkan pernikahan pada 18 Ogos lalu di Masjid Abu Al-Darda, Nilai, Negeri Sembilan yang hanya dihadiri keluarga terdekat kedua-dua belah pihak dan kenalan rapat.

Sebelum ini, Jue pernah mendirikan rumah tangga pada 2014 bersama pemuzik dari Indonesia, Bayu Parman, namun bercerai pada 2019.

Mereka tidak dikurniakan cahaya mata dan memiliki seorang anak angkat, Darwish Naufal, 12. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI