PETALING JAYA – Seorang lelaki dilaporkan meninggal dunia selepas disyaki bergelut dengan perompak dan ditikam berulang kali dalam kejadian di sebuah apartmen di Bandar Sri Damansara, di sini.
Menurut sumber, mangsa yang juga lelaki berusia 30-an ditemui meninggal dunia selepas beberapa hari tidak dilihat oleh jirannya.
“Jiran ada terdengar jeritan individu dari kediaman mangsa sebelum beberapa hari tidak melihatnya.
“Selepas mangsa tidak kelihatan selama dua hari, baru orang awam meminta bantuan pihak bomba untuk memecahkan pintu rumah dan menemui lelaki itu,” katanya, hari ini.
Sementara itu, Asisten Komisioner Shahrulnizam Jaafar ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan akan mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung kes berkenaan dalam masa terdekat.
Tinjauan di lokasi kejadian mendapati, kawalan ketat dilakukan pasukan pengawal keselamatan kediaman tersebut termasuk pergerakan keluar masuk.
Salah seorang pengawal keselamatan berkata, mangsa itu tidak dikenalinya dan tinggal seorang diri di kediaman tersebut.
Katanya, proses membawa keluar mayat mangsa diselesaikan pasukan polis pagi tadi.-KOSMO! ONLINE.