BERN – Jadual padat dan keletihan bukan lagi menjadi masalah besar buat Aston Villa yang akan berkunjung ke Switzerland untuk hadapi Young Boys dalam saingan Liga Juara-Juara, awal pagi esok.
Musim lalu, Villa sudah melangkah jauh di pentas Eropah apabila layak ke separuh akhir Liga Konferensi Eropah sebelum tewas kepada pasukan juara, Olympiakos Pireus.
Rentetan itu, pengalaman tersebut jelas mematangkan Villa dan pengendalinya, Unai Emery percaya anak buahnya mampu menjelmakan persembahan positif pada perhitungan dengan Young Boys.
“Kami sudah harungi tempoh setahun seperti ini, bermain banyak perlawanan sehingga Januari dan jumlah itu mungkin bertambah bergantung kepada kemaraan kami di Piala FA dan Piala Liga Inggeris,” kata Emery.
Berdasarkan prestasi semasa, Villa nyata berada pada tahap terbaik untuk memburu tiga mata selepas cemerlang dengan tiga kemenangan dalam empat aksi awal Liga Perdana Inggeris.
Emery juga percaya persaingan sihat antara dua Ollie Watkins dan Jhon Duran di barisan depan akan menjadikan Aston Villa lebih baik khususnya untuk memburu lebih banyak kejayaan. – AGENSI