fbpx

Liga M: Pasukan perlu wujud ‘gaji siling’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MASALAH gaji yang melanda industri bola sepak negara dilihat semakin ketara dan mampu merosakkan kerancakannya.

GERAKAN ‘bawah tanah’ melibatkan pasukan yang berdepan masalah kewangan wajar dilakukan bagi mengelak isu tunggakan gaji berlarutan hingga beri kesan buruk kepada imej dan ekosistem bola sepak negara.

Bagi jurulatih berpengalaman, Raja Isa Raja Akram Shah, pelaksanaan gaji siling secara senyap dilihat mampu membantu industri bola sepak negara daripada terus dipalit isu negatif dan secara tidak langsung dapat mengembangkan lagi bakat muda tempatan.

“Secara umumnya, saya tidak bersetuju untuk melaksanakan gaji siling kerana bola sepak masa kini sudah memasuki era profesional. Tetapi, saya bersetuju jika ada pasukan bermasalah untuk saling bekerjasama bagi tetapkan kadar gaji.

“Usah jadikan pasukan kaya sebagai alasan, tetapi kelab yang bermasalah perlu mulakan usaha ke arah lebih baik. Untuk saya lebih baik pasukan bermasalah laksanakan gaji siling secara rahsia diantara mereka.

“Contohnya pasukan A dan B sepakat untuk tetapkan gaji RM10,000, sudah pasti pemain akan tetap terima kerana bukan semua daripada mereka akan sertai pasukan kaya. Kalau mereka tolak, berikan peluang kepada pemain muda.

“Liga luar negara juga ada dominasi pasukan kaya, tetapi pasukan lain tetap kekal ‘hidup’. Mereka masih kekal dalam saingan tanpa ada isu gaji dan itu jugalah yang saya dapat lihat dalam pasukan Penang FC,” katanya yang pernah melatih pasukan di Indonesia, Guinea dan Bangladesh.

Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Giorgio Pompili Rossi mengakui sistem gaji siling bukan jalan penyelesaian untuk menghapuskan ‘barah’ kemelut kewangan Liga Malaysia (Liga M) ketika ini.

Meskipun sistem tersebut yang dikenali sebagai ‘salary cap’ turut dipakai di beberapa liga luar negara, Rossi berpendapat ia tidak mudah untuk dilakukan dalam arena bola sepak tempatan.

Sementara itu, seorang lagi jurulatih berpengalaman, Irfan Bakti Abu Salim menyokong usaha untuk memperkenalkan gaji siling jika langkah itu mampu memulihkan imej bola sepak negara.

“Saya pernah ditanya oleh bekas pemain tentang isu gaji, kalau terlalu teruk bagaimana saya mahu jawab. Akan ada orang marah kepada saya, tetapi saya cukup bersetuju dengan gaji siling kerana situasi sekarang sudah agak teruk,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI