SELEPAS bercerai pun seorang lelaki budiman masih boleh menghargai bekas isterinya. Itu yang berlaku kepada bekas pasangan popular dunia, Brad Pitt dan dan Jennifer Aniston.
Ketika meraikan ulang tahun kelahiran ke-50 pada Februari lalu, Aniston dilaporkan menerima sebuah rumah agam bernilai RM336 juta (AS$79 juta) sebagai hadiah daripada bekas suaminya, Pitt.
Menurut Daily Mirror, rumah mewah tersebut pernah menjadi kediaman pasangan itu ketika mereka berumah tangga pada 2000 hingga 2005.
Terletak di Beverly Hills, California, Amerika Syarikat, rumah agam itu memiliki empat bilik tidur, sebuah kolam renang dan sebuah gelanggang tenis.
Difahamkan sebelum ini Aniston pernah meluahkan rasa kecewa kerana tidak membeli kediaman tersebut daripada Pitt selepas mereka bercerai.
Aniston juga dikatakan mengalami tekanan emosi kerana terpaksa melepaskan rumah terbabit selepas dia dan Pitt memutuskan untuk berpisah.
“Selepas berpisah dengan Pitt, Aniston kehilangan rumah kesayangannya itu dan membuatkan perceraian mereka semakin buruk.
“Aniston juga pernah memberitahu salah satu penyesalan terbesar dalam hidupnya adalah tidak membeli rumah itu daripada Pitt kerana kecewa dengan perceraian mereka,” kata sumber.
Pitt dikatakan membeli rumah itu selepas mengetahui hartanah terbabit berada dalam pasaran beberapa tahun lalu. – KOSMO! ONLINE