WASHINGTON – Seorang wanita berdepan detik cemas apabila anaknya nyaris lemas akibat ditarik masuk ke dalam air oleh seekor memerang liar di daerah Kitsap, Washington, lapor akhbar Metro UK.
Menurut Jabatan Ikan dan Hidupan Liar Washington (WDFW), anggota-anggota polis dikerahkan ke Marina Bremerton sebelum pukul 9.30 pagi (waktu tempatan) pada Khamis lalu.
Wanita itu berkata, mereka sedang berjalan di atas jeti sebelum memerang menarik anaknya ke dalam air dalam beberapa saat.
“Apabila mangsa muncul ke permukaan, si ibu bergegas menariknya keluar tetapi binatang ganas itu terus menyerang dan menggigitnya di bahagian lengan.
“Ia terus mengejar keluarga terbabit ketika mereka cuba meninggalkan jeti,” tambah WDFW.
Kanak-kanak tersebut mengalami kesan gigitan, luka di kepala, muka dan kaki. Dia dibawa ke hospital Silverdale untuk mendapatkan rawatan.
Susulan kejadian itu, Jabatan Perkhidmatan Hidupan Liar Jabatan Pertanian Amerika Syarikat menangkap memerang berkenaan di tempat kejadian dan dibawa ke makmal untuk diuji. – AGENSI