PETALING JAYA – Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) bersedia untuk memfailkan pernyataan pembelaan bagi menjawab kenyataan Bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr. Mashitah Ibrahim di dalam writ saman yang dikemukakan.
Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, pihaknya mempunyai asas undang-undang dalam segala tindakan yang dilakukan berhubung dakwaan penglibatan Dr. Mashitah dalam jenayah pemerdagangan manusia.
“MHO sentiasa bersedia dan akan failkan pernyataan pembelaan untuk menjawab segala kenyataan beliau di dalam writ saman dan pernyataan tuntutan yang difailkan dan diserahkan kepada kita tersebut.
“Kami mempunyai asas undang-undang dalam segala tindakan yang kami lakukan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Terdahulu, Mashitah, 60, memfailkan saman itu atas kapasiti peribadi menerusi Tetuan Akberdin & Co. di sini pada 9 September lalu dengan menamakan Hishamuddin, 45, Ahli Jawatankuasa MHO Azirul Syafiq Sazali, 29, dan pertubuhan itu masing-masing sebagai defendan pertama hingga ketiga.
Berdasarkan pernyataan tuntutan, Pengerusi Eksekutif Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia itu mendakwa Hishamuddin telah memuatnaik, menyiarkan, menerbitkan atau menyebarkan satu video kenyataan media yang dibuat ketiga-tiga defendan pada 28 Ogos lalu di akaun Facebook “Hishamuddin Hashim”.
Pada 28 Ogos lalu, MHO meminta SPRM menyiasat seorang ahli politik di negara ini yang didakwa terbabit sindiket pemerdagangan manusia di Myanmar. – KOSMO! ONLINE