ABUJA – Sekurang-kurangnya 274 banduan melarikan diri dari sebuah penjara di Borno, Nigeria susulan banjir besar yang melanda negeri berkenaan, kata Perkhidmatan Koreksional Nigeria kelmarin.
“Banjir meruntuhkan tembok penjara termasuk penjara kawalan sederhana Maiduguri (MSCC) serta kuarters kakitangan,” kata jurucakap perkhidmatan penjara, Abubakar Umar dalam satu kenyataan.
Menurut Umar, sekurang-kurangnya 281 banduan melarikan diri semasa mereka dipindahkan ke ‘kemudahan selamat dan terjamin’, manakala tujuh orang dapat ditangkap semula.
Umar berkata, perkhidmatan itu telah mengenal pasti identiti banduan-banduan terbabit termasuk data biometrik mereka dan menyediakan maklumat tersebut kepada orang ramai.
Usaha memburu kesemua banduan itu sedang dijalankan, katanya.
Banjir berminggu-minggu yang melanda seluruh Nigeria menyebabkan 229 kematian dengan lebih 386,000 orang hilang tempat tinggal, demikian menurut data terkini agensi pengurusan bencana negara (NEMA) seperti dikongsi saluran berita CNN.
Utara Nigeria adalah rantau yang paling terjejas akibat banjir kali ini. Negeri Borno terletak di timur laut negara itu.
Bulan lalu, Agensi Perkhidmatan Hidrologi Nigeria (NIHSA) turut memberi amaran tentang peningkatan paras air Sungai Niger yang merupakan antara sungai terbesar di Nigeria dan menggesa negeri-negeri supaya berwaspada.
Kejadian hujan yang melampau dijangka meningkat dalam kekerapan dan intensiti di hampir seluruh Benua Afrika termasuk Nigeria.
Keadaan itu antaranya disebabkan oleh perubahan iklim akibat aktiviti manusia, kata Panel Antara Kerajaan mengenai Perubahan Iklim.
Pada Rabu lepas, air banjir yang mencurah-curah dari empangan melimpah di utara Nigeria telah menenggelamkan sebuah zoo dan menghanyutkan haiwan termasuk buaya dan ular ke dalam komuniti berdekatan. – AGENSI