LIVERPOOL – Pemain pertahanan Liverpool, Nathaniel Phillips menggesa rakan sepasukan supaya berjaga-jaga dengan kemampuan Southampton menjelang aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium St. Mary awal pagi esok.
Katanya, pergerakan penyerang pasukan tuan rumah, Danny Ings perlu dirantai memandangkan dia mampu untuk membuatkan The Reds pulang hampa ke Anfield.
Selain Ings, Phillips juga berharap rakan sepasukan turut memberi sepenuh perhatian terhadap pemain-pemain lain memandangkan Southampton boleh dianggap antara pasukan terbaik musim ini.
“Apabila beraksi, dia (Ings) boleh dikatakan antara yang terbaik dalam pasukan itu, lebih-lebih lagi dia kerap menjaringkan gol buat Southampton, jadi kami perlu berhati-hati.
“Mereka berada pada prestasi terbaik ketika ini dan sudah pasti ia sangat sukar untuk kami.
“Kami perlu bangkit daripada perlawanan sebelum ini untuk dapatkan tiga mata,” kata Phillips.
Selain itu, dia juga gembira apabila The Reds masih mampu untuk menerajui saingan liga biarpun berdepan beberapa masalah kecederaan pemain utama.
“Kami sudah tunjukkan kemampuan yang ada walaupun ramai pemain cedera selain terpaksa beraksi pada posisi berbeza.
“Sudah tentu satu pencapaian menakjubkan untuk berada di puncak liga,” ujarnya. – AGENSI