SHAH ALAM – Rundingan semula perjanjian persefahaman (MoU) antara kerajaan dan pembangkang berkemungkinan akan diadakan semula.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, rundingan semula itu bagaimanapun sudah tentu tidak akan tersasar daripada syarat asal yang ditetapkan dalam draf sebelum ini.
Beliau menegaskan, keputusan untuk mempersetujui atau menolak MoU tersebut diserahkan kepada pimpinan parti dan ahli Parlimen pembangkang.
“Kerajaan sudah mengemukakan draf itu, kalau mereka mahu menerima, terimalah tanpa syarat atau boleh diadakan perincian dari perundangan.
“Namun, kalau tidak terima, kita lupakan sahaja. Saya pasti akan ada rundingan tetapi tak lari dari syarat yang ada dalam draf MOU,” katanya, ketika ditemui pemberita pada Perhimpunan Agung MIC Ke-78, hari ini.
Terdahulu, media melaporkan, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin memaklumkan PN membuat ketetapan sebulat suara menolak MoU mengenai peruntukan pembangkang yang dikemukakan kerajaan.
Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO memberitahu, MoU tersebut tidak boleh disamakan dengan perjanjian keyakinan dan perbekalan (CSA) yang dibuat ketika Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjadi Perdana Menteri sebelum ini.
“CSA sebelum ini yang diberikan kepada pembangkang adalah berbeza kerana memerlukan sokongan untuk meluluskan ucapan dan peruntukan belanjawan. Berbeza kali ini dengan adanya 153 sokongan ahli parlimen, CSA tidak diperlukan.
“Namun, apa yang dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof sebagai pengerusi jawatankuasa itu adalah sesuatu yang didraf dan diserahkan kepada pembangkang dan terserah kepada mereka bersetuju atau sebaliknya,” katanya. – KOSMO! ONLINE