SHAH ALAM – Kabinet tidak pernah memutuskan pengusaha restoran terutama yang bukan Islam wajib mendapatkan sijil halal.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, semua pihak digesa tidak memaksa pengusaha berkaitan atau terlibat dalam perusahaan makanan dan minuman (F&B) untuk mendapatkan sjil halal berkenaan.
Justeru, tegasnya, perkara itu tidak sepatutnya mencetuskan polemik susulan semua agama memahami keperluan masing-masing.
“Soal halal, haram itu adalah sesuatu yang begitu lama. Sijil halal juga diminta oleh pengusaha bukan Islam.
“Tiada satu keputusan untuk mewajibkan semua restoran di seluruh negara untuk memohon 100 peratus sijil halal. Tidak ada keputusan Kabinet.
“Itu sebabnya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama Islam) Datuk Mohd. Na’im Mokhtar memberitahu kedudukan (situasi) sebenarnya kepada Mesyuarat Jemaah Menteri pada Rabu ini,” katanya dalam ucapan perasmian Perhimpunan Agung MIC Ke-78, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengkaji cadangan untuk mewajibkan restoran dan syarikat makanan memiliki sijil halal. – KOSMO! ONLINE