LONDON – Bekas juara dunia Formula Satu (F1), Sebastian Vettel mengakui sudah belajar daripada pengalaman selepas mengharungi musim terburuk dalam karier peribadi F1 ketika bersama Ferrari tahun lalu.
Pelumba kelahiran Jerman yang juga juara dunia empat kali telah merekodkan prestasi kurang memuaskan pada musim terakhirnya selaku pelumba Ferrari dengan hanya mengutip 33 mata daripada 17 perlumbaan Grand Prix (GP).
Malah, pengaruh Vettel dalam pasukan Ferrari turut dibayangi oleh pelumba muda, Charles Leclerc yang dilihat lebih menyerlah dengan mengutip 98 mata selain merekodkan dua kedudukan podium musim lalu.
Susulan itu, pasukan Ferrari mengambil keputusan untuk tidak menyambung kontrak Vettel sehingga menyaksikan pemandu berusia 33 tahun itu mengambil keputusan untuk menerima tawaran pasukan meningkat naik, Aston Martin pada musim ini.
Kata Vettel, apa yang diharungi sepanjang tahun lalu cukup mencabar tetapi dalam masa yang sama situasi tersebut tidak boleh dianggap sebagai penamat untuk kariernya sebaliknya menaikkan motivasi untuk tampil lebih cemerlang bersama jentera baharu.
“Saya akui bukan mudah untuk menerima kritikan yang dilemparkan sepanjang tahun lalu tetapi saya mengambil kata-kata tersebut sebagai pemangkin semangat untuk bangkit lebih baik pada saingan F1 musim ini.
“Secara jujur, saya akui masih lagi ralat kerana tidak dapat memberikan aksi terbaik pada tahun terakhir bersama pasukan Ferrari. Namun, saya kini fokus sepenuhnya bersama pasukan Aston Martin dan tidak sabar untuk mencuba jentera baharu tidak lama lagi,” katanya. – AGENSI