NEW DELHI – Seorang lelaki di negeri Uttar Pradesh, India terkejut apabila menemui kaki katak di dalam samosa yang dibeli dari sebuah kedai terkenal, lapor stesen penyiaran NDTV semalam.
Menerusi rakaman yang dimuat naik di platform X oleh akaun @mogambokhushua, lelaki itu dilihat sedang menjamu selera di hadapan kedai di Ghaziabad.
Dia kemudian menunjukkan kaki katak yang terjuntai keluar dari samosa yang dimakan.
“Kaki katak ditemui di dalam samosa. Kejadian berlaku di kedai Bikaner Sweets. Polis menahan pekerja kedai tersebut,” demikian menurut keterangan video itu.
Menurut laporan polis, pemilik kedai telah disoal siasat berhubung kejadian itu, manakala sampel makanan diambil untuk pemeriksaan lanjut.
Rakaman itu menjadi tular di media sosial dan menimbulkan pelbagai reaksi daripada netizen.
“Itu adalah protein,” sindir seorang netizen.
“Kedai besar tetapi makanan tawar. Jenama besar tetapi perangai murah,” marah netizen lain. – AGENSI