CARACAS – Tiga rakyat Amerika Syarikat (AS), dua Sepanyol dan seorang warga Republik Czech ditahan di Venezuela kerana disyaki terlibat dalam rancangan untuk menggugat kestabilan negara itu, kata Caracas kelmarin, ketika Washington menafikan dakwaan tersebut.
Penangkapan itu dibuat di tengah-tengah ketegangan memuncak antara Venezuela, AS dan Sepanyol berhubung keputusan pilihan raya presiden yang menjadi pertikaian pada 28 Julai lalu. Pihak pembangkang negara itu menuduh Presiden Nicolas Maduro sebagai menipu dalam pilihan raya.
Menteri Dalam Negeri, Diosdado Cabello berkata, kesemua warga asing tersebut ditahan kerana disyaki merancang serangan berbentuk keganasan ke atas Maduro dan kerajaannya.
“Kami tahu bahawa kerajaan AS mempunyai kaitan dalam operasi ini,” tegas Cabello.
Tambahnya, suspek-suspek yang ditahan itu dikaitkan dengan agensi perisikan AS dan Sepanyol serta ketua pembangkang Venezuela, Maria Corina Machado.
Ujar Cabello, mereka yang ditahan telah menghubungi tentera upahan Perancis, tentera upahan dari Eropah Timur dan berada dalam operasi untuk cuba menyerang Venezuela.
Beliau menambah, lebih 400 raifal turut dirampas selain menuduh kesemua suspek mempunyai matlamat yang sangat jelas untuk membunuh Maduro dan ahli politik Venezuela berpangkat tinggi termasuk dirinya serta Naib Presiden.
Sementara itu, jurucakap Jabatan Negara AS berkata: “Sebarang dakwaan penglibatan AS dalam plot untuk menggulingkan Maduro adalah palsu.”
Tambahnya, Washington bagaimanapun sedia maklum bahawa seorang anggota tentera AS telah ditangkap di Venezuela, manakala Jabatan Negara menyedari ‘laporan yang belum disahkan’ mengenai dua lagi warganegara tersebut turut ditahan.
Ketegangan antara Caracas dan Madrid meningkat mendadak selepas calon pembangkang Venezuela, Edmundo Gonzalez Urrutia, dibuang negeri ke Sepanyol minggu lalu.
Beliau melarikan diri selepas diugut untuk ditangkap atas tuduhan melakukan keganasan, komplot dan beberapa jenayah lain.
Awal minggu ini, Caracas memanggil semula dutanya ke Madrid untuk rundingan dan memanggil utusan Sepanyol ke Venezuela. Ia bertujuan bagi berbincang selepas seorang menteri Sepanyol menuduh Maduro menjalankan pemerintahan diktator.
Venezuela juga berang dengan keputusan Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez untuk bertemu dengan Urrutia dan memberi suaka politik kepada pemimpin itu, serta memberi amaran kepada Madrid terhadap sebarang campur tangan dalam hal ehwal negaranya.
Caracas selain itu terlibat dalam perang mulut dengan Washington, yang mengiktiraf Urrutia sebagai pemenang pilihan raya.
Maduro yang menggantikan pemimpin ikonik sayap kiri, Hugo Chavez selepas kematiannya pada 2013, menegaskan bahawa beliau memenangi penggal ketiga pilihan raya tetapi gagal mengeluarkan jumlah undian terperinci untuk menyokong keputusan itu.
Ia mencetuskan protes besar-besaran oleh penyokong pembangkang, yang telah meragut sekurang-kurangnya 27 nyawa dan menyebabkan 192 orang cedera.
Pembangkang turut menyiarkan keputusan peringkat pusat mengundi, yang dikatakan menunjukkan Urrutia menang majoriti pilihan raya itu.
Washington pada Khamis lalu mengumumkan sekatan baharu terhadap 16 pegawai Venezuela termasuk beberapa orang daripada pihak berkuasa pilihan raya kerana didakwa menghalang proses pilihan raya yang telus dan tidak menerbitkan keputusan yang tepat. – AFP