PHOENIX, ARIZONA – Seorang lelaki di negeri Arizona, Amerika Syarikat terkejut apabila mendapati bongkah permainan Lego menjadi punca hidungnya tersumbat selama beberapa tahun, lapor akhbar Metro UK.
Andi Norton, 32, mampu menarik nafas lega apabila permainan itu secara tiba-tiba keluar dari hidungnya apabila dia bersin terlalu kuat ketika mandi.
Norton bermain Lego pada 1998 dan memasukkan satu bongkah ke dalam hidungnya sebelum ia tersangkut.
“Saya tidak pernah terfikir untuk membuat pemeriksaan dengan mana-mana doktor perubatan dan melupakannya,” kata Norton.
Sejak kecil, lelaki itu menganggap sensitiviti pada hidungnya berpunca daripada keadaan alahan.
“Sepanjang hidup, saya kerap mengalami masalah resdung, alahan dan hidung tersumbat. Saya alergi terhadap kucing, anjing, rumput, pokok dan habuk,” ujarnya. – AGENSI