KUALA KRAI – Bayi lelaki yang masih bertali pusat dan dibungkus dengan kain batik ditinggalkan di sebuah rumah di Lorong Perisai Wira di sini, semalam.
Bayi seberat 2.74 kilogram (kg) yang berambut dan mata berwarna hitam, berkulit cerah itu dijumpai orang awam pada pukul 9.43 malam tanpa sebarang kesan kecederaan.
Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Mazlan Mamat berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai penemuan bayi itu dan anggota unit peronda polis digerakkan ke lokasi berkenaan.
“Bayi itu dihantar ke Hospital Sultan Ismail Petra di sini bagi mendapatkan rawatan. Pemeriksaan pasukan perubatan mendapati bayi itu masih bertali pusat dengan berat 2.74 kg,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Siasatan masih dijalankan bagi mengesan ibu bayi malang tersebut.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi balai polis terdekat atau Pegawai Penyiasat, Inspektor Iman di talian 011-3146 0199. – KOSMO! ONLINE