BEREGU wanita negara, Pearly Tan-M.Thinaah akhirnya menamatkan kemarau penantian kejuaraan dua tahun selepas mendominasi perlawanan final Terbuka Hong Kong selepas menundukkan wakil China Liu Sheng Shu-Tan Ning dengan keputusan 21-14, 21-14, sebentar tadi.
Pada aksi yang berlangsung selama 38 minit di Hong Kong Coliseum, Kowloon, beregu No. 8 dunia itu mempamerkan corak permainan agresif dari awal apabila mendominasi set pertama dan meneruskan momentum cemerlang pada set kedua.
Meskipun, gandingan No. 3 dunia dari China itu cuba mengheret Pearly-Thinaah ke set penentuan, namun cubaan tersebut gagal apabila beregu negara tidak memberikan ruang untuk bangkit selain kekal tenang mengawal rentak permainan sehingga tamat perlawanan.
Lebih bermakna, kejayaan mereka menjuarai Terbuka Hong Kong ini hadir pada Hari Malaysia yang akan disambut esok dan Thinaah menganggap kemenangan tersebut sebagai hadiah buat negara.
“Kami sangat gembira dapat meraih kemenangan pada aksi final hari ini. Ia juga satu hadiah istimewa untuk Malaysia. Selamat Hari Malaysia, dan terima kasih kepada semua penyokong di Malaysia yang sentiasa memberi sokongan,” tambahnya.
Keputusan itu juga menamatkan kemarau kejuaraan buat gandingan negara itu yang kali terakhir memenangi Terbuka Perancis pada Oktober 2022 selain mereka juga menjadi beregu wanita pertama Malaysia yang memenangi gelaran Terbuka Hong Kong. – KOSMO! ONLINE