fbpx

Abedeen Academy miliki pelajar dari 26 buah negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Sembang Korporat

Misi dan harapan pengasas Abedeen Academy, Qutren Nada Ahmad terhadap institusi pendidikan persendirian itu adalah untuk melahirkan pemimpin kelas dunia yang lengkap dengan ilmu akademik, berkemahiran, berdisiplin dan kreatif serta memiliki karakter yang berkualiti.

Beliau yang memiliki pengalaman lebih daripada 20 tahun dalam bidang pendidikan telah berjaya menaikkan nama Malaysia melalui Abedeen Academy kerana ramai ibu bapa dari negara luar mempercayai dan meyakini sistem pembelajaran akademi tersebut sehingga ada yang sanggup berpindah ke negara ini semata-mata untuk membolehkan anak-anak mereka mendapat ilmu bersepadu.

Melalui kejayaan institusi tersebut menerima Islamic Education Excellence Award di Global Responsibility Business Leadership Award pada tahun 2017, ia telah mengiktiraf usaha beliau dan juga institusi pendidikan berkenaan untuk mencapai objektifnya.

Dalam temu bual bersama Kosmo! di Cyberjaya baru-baru ini, Qutren Nada melihat kecenderungan masyarakat memilih pendidikan persendirian semakin bertambah seiring dengan peningkatan kesedaran dan perubahan gaya hidup yang melihat pentingnya pendidikan bertaraf global kepada anak-anak mereka.

Apakah pencapaian Abedeen Academy sehingga kini sejak ia mula ditubuhkan pada tahun 2017?
Akademi tersebut terbahagi kepada tiga institusi iaitu sekolah rendah, sekolah menengah dan juga sekolah antarabangsa yang mana setiap institusi tersebut memiliki guru besarnya sendiri di bawah seorang pengetua.

Pada tahun ini, kami memiliki hampir 400 pelajar. Pencapaian akademik pelajar dalam peperiksaan besar seperti International Ge­neral Certificate of Secon­dary Education dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) juga semakin cemerlang dengan jumlah pelajar memperoleh semua A dalam mata pelajaran turut meningkat.

Beberapa pelajar telah berjaya melanjutkan pelajaran ke universiti terkemuka seperti di United Kingdom dan Amerika Syarikat (AS).

Pada tahun kedua setelah beroperasi, Abedeen Academy telah menjadi antara institusi pendidikan di Malaysia yang memiliki paling banyak kewarganegaraan kerana berjaya mengumpulkan pelajar daripada 26 buah negara.

Antara negara asal pelajar tersebut ialah AS, Kanada, Perancis, Timur Tengah, Afrika, China, Bangladesh, Maldives dan Indonesia.

Apa faktor ibu bapa khususnya dari luar negara memilih institusi ini?
Di sini kami wujudkan persekitaran yang selesa bersesuaian dengan pelbagai latar belakang, budaya dan warganegara mereka.

Kami wujudkan sifat peka dan menghormati perbezaan tersebut dalam kalangan pelajar.

Sehubungan itu, mereka tidak akan terkurung dalam budaya mereka sendiri seperti ‘katak di bawah tempurung.’

Di ­samping itu, ada minggu-minggu tertentu, para pelajar dari 26 warganegara ini berkesempatan memper­kenalkan budaya masing-masing termasuk ada yang memakai pakaian kebangsaan serta membawa makanan ke sekolah untuk dikongsi bersama.

Kami berharap, melalui inisiatif ini, apabila mereka balik ke negara asal atau menyambung pelajaran di negara lain, pelajar tersebut de­ngan mudah dapat menyesuaikan diri dengan budaya negara tersebut malah apabila dewasa dan menjadi pe­mimpin negara masing-masing, mereka akan saling be­kerjasama kerana telah membina jalinan kepercayaan antara satu sama lain sejak mereka belajar di Abedeen Academy.

Adakah pelajar ini mengikuti ibu bapa bekerja di Malaysia?
Satu perkara yang membanggakan bagi tenaga pengajar di sini ialah apabila ada ibu bapa yang sanggup menghantar anak mereka semata-mata belajar di Abedeen Academy kerana mereka berkeyakinan terhadap sistem pembelajaran di sini.

Ada juga ibu bapa yang terpaksa duduk berjauhan yang mana suami be­kerja di negara asal tetapi isteri bersama anaknya berpindah sementara di Malaysia untuk membolehkan anak-anak mereka mendapatkan ilmu pembelajaran yang berkualiti di sini.

Malah ada yang datang dari AS dan memilih Abedeen Academy kerana mahukan pendidikan yang cemerlang dan seimbang.

Berapa peratusan pelajar tempatan belajar di sini?
Sebanyak 60 peratus adalah pelajar asing dan bakinya pula adalah pelajar tempatan.
Selain silibus antarabangsa atau Cambridge, pelajar di sini juga boleh memilih silibus kebangsaan untuk menduduki pe­periksaan SPM, Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) dan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

Selain pembelajaran utama, apakah program pembelajaran lain yang ditawarkan kepada umum?
Kami juga telah memulakan program prauniversiti iaitu Ontario Secondary School Diploma sebagai kursus persediaan untuk melengkapi diri pelajar atau menggalakkan mereka untuk menyambung pelajaran di pe­ringkat lebih tinggi.

Kami juga ada mengadakan usaha sama dengan Universiti Pendidikan Sultan Idris, Universiti Teknologi Mara, Albukhary International Universiti, Dublin International Foundation College dan Canadian Pre-University Programme.

Selain itu, Pusat Bahasa Abedeen turut menawarkan program untuk HSK Mandarin ­Curriculum, Arabic For Non-Arabic Speakers (AFNAS) dan juga Futr-Us Science Centre yang dikendalikan oleh Jabatan Matematik dan Sains untuk me­ningkatkan pengetahuan para pelajar dalam bidang sains serta menjalankan pelbagai ujian termasuk demonstrasi.

Bagaimana impak pandemik Covid-19 terhadap Abedeen Academy dan apa peranca­ngan pihak sekolah mengatasi masalah tersebut?
Kami juga terkesan khusus­nya dari segi pembayaran yuran kerana ada ibu bapa yang terjejas pendapatan mereka tetapi dari segi sokongan dan pertanyaan daripada mereka terhadap pembelajaran anak-anak khususnya sesi online di rumah adalah sungguh menggalakkan.

Malah untuk sekolah antarabangsa, kehadiran pelajar dalam sesi pembelajaran online adalah antara 90 hingga 100 peratus.

Para guru juga telah memberi kerjasama yang sangat baik untuk pembelajaran online bersama pelajar di rumah.

Apakah pandangan puan mengenai trend pembelajaran di Malaysia pada masa depan?
Saya melihat ibu bapa kini berminat untuk menghantar anak-anak mereka belajar di sekolah antarabangsa, mereka telah membuat pilihan terbaik dengan memberikan pelaburan dalam pendidikan dan menghantar anak mereka ke sekolah persendirian dan antarabangsa.

Saya melihat trend ini semakin bertambah sepertimana yang berlaku di negara jiran seperti Indonesia dan Filipina. Ibu bapa di sana begitu cenderung menghantar anak-anak mereka ke sekolah persendirian.

Terdapat permintaan yang tinggi daripada golongan mewah di negara berkenaan terhadap pendidikan persendirian.

Trend itu kini semakin mening­kat di Malaysia seiring dengan perubahan gaya hidup rakyat yang semakin maju.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI