PETALING JAYA – Sebanyak 91 pencawang elektrik di beberapa kawasan di Pahang dan Johor dihentikan sementara operasi berikutan banjir di kedua-dua lokasi berkenaan.
Tenaga Nasional Berhad (TNB) menerusi satu kenyataan berkata, setakat pukul enam petang tadi, sebanyak 67 pencawang elektrik di Jengka, Maran, Jerantut dan Raub, Pahang serta 24 lagi pencawang di Johor Bahru, Kulai, Johor Jaya, Kota Tinggi dan Kluang, Johor telah dihentikan tugas demi keselamatan pengguna.
“Di Johor, daripada 24 pencawang elektrik yang telah dihenti tugas, 13 daripadanya telah diberikan bekalan sementara melalui set jana kuasa mudah alih dan penyambungan semula bekalan elektrik akan dibuat selepas keadaan dipastikan selamat.
“Seramai 2,300 pengguna di Pahang dan 3,900 pengguna di Johor masih belum mendapat semula bekalan elektrtik setakat ini. TNB sentiasa bertungkus lumus memulihkan bekalan elektrik dengan mengambil kira aspek keselamatan pengguna elektrik dan pekerja TNB,” katanya.
Jelas kenyataan itu, bagi memastikan pengurusan banjir yang berkesan, Bilik Gerakan TNB di negeri Johor dan Pahang telah diaktifkan untuk memantau keadaan dan menyalurkan maklumat terkini berkait bekalan elektrik.
“Para pengguna di kawasan banjir dinasihatkan untuk sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa sekiranya diminta berpindah dan menghubungi TNB Careline di talian 15454 jika ada pepasangan TNB yang beralih atau tumbang.
“Orang ramai juga dinasihatkan agar berhati-hati ketika menggunakan peralatan elektrik jika premis mereka dinaiki air dan elakkan menyentuh alat elektrik atau suis dengan tangan yang basah serta lembap kerana ia boleh menyebabkan renjatan elektrik,” ujarnya.
Tambah kenyataan itu, pengguna disaran untuk mendapatkan khidmat kontraktor pendawaian yang berdaftar dengan Suruhanjaya Tenaga bagi memeriksa pendawaian di dalam premis mereka yang dinaiki air sesudah banjir surut kelak.-K!ONLINE