KUALA LANGAT – Seorang lelaki terselamat dalam kebakaran yang memusnahkan sebuah kedai dua tingkat di Taman Rambai Indah di sini, hari ini.
Mangsa dikenali sebagai Leong Wee Keong, 53 tahun ditemui dalam keadaan separuh sedar berhampiran gril belakang premis tersebut.
Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, seramai 12 anggota termasuk pegawai bersama dua jentera dan sebuah van Perkhidmatan Penyelamat Perubatan Kecemasan (EMRS) bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pukul 5.16 pagi.
Katanya, mereka adalah dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Telok Panglima Garang dan Banting.
“Setiba di lokasi kejadian didapati kebakaran melibatkan bahagian bawah kedai dua tingkat serta sebuah motosikal.
“Seorang lelaki ditemui terselamat dalam keadaan separa sedar berhampiran gril blakang premis kira-kira 15 minit sewaktu operasi tersebut,” katanya hari ini.
Beliau menambah, tiada kecederaan fizikal dengan mangsa telah dihantar ke hospital untuk rawatan selanjutnya, manakala kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya pada pukul 6. 01 pagi. – KOSMO! ONLINE