PETALING JAYA – Kerajaan akan memastikan para huffaz bukan sahaja berjaya dalam hafazan, tetapi juga mampu bersaing dan menyumbang dalam pelbagai bidang profesional di peringkat global.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan melalui Dasar Tahfiz Negara (DPTN) telah menambah baik Sijil Tahfiz Malaysia 2.0, Sijil Perakuan Hafazan Bertahap (SPHB) dan Skim Pembiayaan Hafiz (SPH).
“Program Eksplorasi TVET-Tahfiz turut diperkasakan demi pembangunan huffaz yang seimbang antara ilmu agama dan kemahiran duniawi,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Dalam hantaran sama, beliau turut menzahirkan kesyukuran atas kejayaan penganjuran Himpunan 24K Huffaz yang disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Masjid Wilayah Persekutuan.
“Kehadiran seramai 24,000 para huffaz dari seluruh negara dalam program ini menunjukkan komitmen kerajaan dalam memartabatkan al-Quran dan para huffaz sebagai modal insan penting bagi negara.
“Dengan tema “Huffaz Tonggak Modal Insan Negara”, himpunan ini adalah manifestasi usaha kerajaan untuk memastikan generasi huffaz terus memainkan peranan penting dalam masyarakat kita sebagai peneraju moral, etika dan kerohanian,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE