fbpx

Stor simpan arak, rokok seludup RM1.85 juta diserbu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pelbagai jenama minuman keras dan rokok seludup dirampas di sebuah premis tidak bernombor di Selangor pada bulan lalu.

ALOR SETAR – Kegiatan sindiket penyeludupan minuman keras dan rokok menyimpan barangan tersebut di sebuah premis di Selangor dan di dalam kontena di Pulau Pinang terbongkar apabila diserbu kastam, baru-baru ini.

Dalam dua serbuan berasingan pada 29 Ogos dan 2 September lalu itu, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kedah merampas minuman keras dan rokok seludup dianggarkan bernilai RM1.85 juta termasuk cukai.

Pengarah Kastam Kedah, Nor Izah Abd. Latiff berkata, dalam serbuan pertama kira-kira pukul 1.05 pagi, sepasukan pegawai kastam dari Cawangan Penguatkuasaan Bukit Kayu Hitam memeriksa sebuah premis tidak bernombor di Selangor.

“Semasa pemeriksaan dilakukan, pintu premis tidak berkunci dan hasil pemeriksaan menjumpai sejumlah minuman keras dan rokok pelbagai jenis dan jenama dipercayai tidak berkastam.

“Premis itu tidak berpenghuni dan semua barang tersebut disita dan dibawa balik ke Pejabat Penguatkuasaan Bukit Kayu Hitam untuk tindakan lanjut. Tiada tangkapan dilakukan memandangkan tiada individu yang tampil ke lokasi,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Kata beliau, minuman keras disita berjumlah 7,000 liter, manakala rokok sebanyak sejuta batang dianggarkan bernilai RM353,284 yang melibatkan anggaran cukai RM1.05 juta dengan semua barangan berkenaan tidak mempunyai setem cukai.

“Modus operandi sindiket adalah menjadikan kawasan tidak bernombor sebagai stor penyimpanan barang tidak berkastam dan dipercayai dijadikan sebagai tempat transit sebelum diedarkan ke pasaran tempatan,” ujarnya.

Sementara itu, pemeriksaan ke atas sebuah kontena di Bukit Mertajam, Pulau Pinang kira-kira pukul 10 malam, 2 September lalu menjumpai 5,476 botol atau 2,120.60 liter minuman keras pelbagai jenama dianggarkan bernilai RM161,474 yang melibatkan cukai sebanyak RM285,676.53. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI