PETALING JAYA – Nama pasangan selebriti popular Fazura dan Fattah Amin terus menjadi bualan ramai dalam media sosial meskipun sudah tiga hari cerita perceraian mereka tular.
Menerusi platform X, nama Fazura lebih banyak menjadi bahan bualan ramai berbanding Fattah.
Hasil tinjauan, rata-rata netizen masih berdoa agar rumah tangga pasangan tersebut dapat diselamatkan dan kembali hidup sebagai suami isteri.
Bukan sahaja doa, segelintir netizen ketika ini juga keliru tentang kemelut rumah tangga pasangan terbabit selain yakin Fattah tidak pernah berlaku curang seperti didakwa.
“Tak mahu sokong mana-mana pihak tapi harap mereka kembali berbaik.
“Sebagai peminat Fattzura (gabungan nama Fattah dan Fazura), cerita cerai ini buat hati rasa sangat sedih,” komen netizen.
Fazura pada 13 September lalu mengejutkan ramai apabila memfailkan cerai terhadap Fattah di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari namun tidak mendedahkan perincian tentang kemelut rumah tangga mereka.
Sementara itu, semalam, Fattah pula bertegas masih menyayangi Fazura dan hanya mengetahui isterinya memfailkan cerai menerusi platform media sosial.
Pasangan itu telah berkahwin selama tujuh tahun dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Nur Fatima Aisya yang kini berusia empat tahun. – KOSMO! ONLINE