BANDAR RAYA NEW YORK – Penduduk setempat didakwa mengalami ketakutan apabila dihantui beberapa insiden tupai mengganas di kawasan kejiranan mereka di Queens, Bandar Raya New York, New York, Amerika Syarikat baru-baru ini, lapor Daily Star.
Akibat kejadian itu, penduduk di kawasan kejiranan berkenaan dipercayai takut untuk keluar rumah kerana bimbang akan dicederakan tupai terbabit.
Seorang penduduk, Micheline Frederick berkata, dia pernah diserang haiwan terbabit hingga mengakibatkan kecederaan pada jarinya.
“Sebelum ini saya pernah mendengar seseorang diserang tupai dan menganggap itu adalah perkara yang tidak serius, tetapi apabila ia terjadi kepada saya, keadaannya seperti menyertai perlawanan tinju dan saya kalah.
“Kami bergelut di atas salji dan mengakibatkan kesan darah jelas kelihatan di merata tempat apabila tupai berkenaan menggigit jari saya dan enggan melepaskannya,” katanya.
Frederick berkata, selepas beberapa minit bergelut, haiwan itu berhenti menyerang dan terus melarikan diri.
“Selepas kejadian itu, saya terus mendapatkan rawatan di hospital serta menerima suntikan rabies sebagai langkah berjaga-jaga.
“Saya juga cuba memberi amaran kepada penduduk kejiranan ini mengenai serangan tupai tersebut, tetapi tidak banyak yang boleh kami lakukan untuk menghalang haiwan itu daripada terus mengganas,” ujarnya.
Sementara itu, seorang lagi penduduk, Vinati Singh berkata, tupai berkenaan sering bertindak agresif dan menyerang penduduk di situ termasuk suaminya yang diserang sebanyak dua kali.
“Pada kejadian pertama, tupai itu cuba merampas beg plastik yang dipegang suami saya dan memanjat kakinya, tetapi dia berjaya menghalau haiwan berkenaan.
“Situasi lebih kurang sama terjadi untuk kali kedua dan ia berlaku di hadapan kediaman kami ketika suami saya hendak masuk ke dalam rumah,” ujarnya.
Sekurang-kurangnya tiga orang penduduk di kejiranan tersebut dilaporkan diserang haiwan berkenaan, namun masih belum diketahui sama ada ia dilakukan oleh tupai yang sama atau berlainan. – Agensi