JAKARTA – Perbuatan seorang remaja di Kupang, wilayah Nusa Tenggara Timur yang sanggup menjadi pencuri untuk membahagiakan teman wanitanya mengundang kecaman pengguna media sosial, lapor laman berita Pos Kupang semalam.
Menurut pegawai tempatan, suspek berumur 17 tahun yang dikenali sebagai JA itu ditahan sekitar pukul 3 petang (waktu tempatan).
“Demi membahagiakan kekasihnya, JA rela menjadi pencuri.
“Dia dipercayai mencuri wang tunai berjumlah 17 juta rupiah (RM4,748.97) untuk membeli iPhone 11,” katanya.
Tangkapan dilakukan selepas rakan-rakan suspek mula mengesyakinya dan membuat laporan polis pada 3 September lalu.
“Suspek yang masih di bawah umur itu dipercayai memecah masuk ke rumah mangsa untuk mencuri. Namun, dia bernasib malang apabila anggota-anggota polis berjaya menahannya,” tambah pegawai berkenaan.
Perkongsian di platform Instagram oleh akaun @ntt.update mencatatkan lebih 60,000 tanda suka.
“Lelaki greenflag! Effortnya terlalu bagus!” sindir seorang netizen.
“Demi kekasih, rela ke penjara,” sindir netizen lain. – AGENSI