fbpx

Ancaman video AI doktor palsu di media sosial

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEORANG pengguna menggunakan laman video AI di Taipei, Taiwan. - AFP

PARIS – Orang awam dibanjiri video palsu yang dicipta menggunakan teknologi kepintaran buatan (AI) dan menampilkan imej mirip doktor-doktor popular untuk mempromosikan pelbagai jenis ubat dan penawar ajaib tetapi sebenarnya berbahaya kepada kesihatan manusia, kata pakar-pakar.

Berbilang video tersebut di­siarkan di laman Facebook dan Instagram. Paparan itu mengambil kesempatan daripada kredibiliti dan populariti doktor berstatus selebriti yang kerap muncul di kaca televisyen.

Satu video berkenaan mengiklankan sirap semula jadi tetapi masih belum diuji untuk mencegah penyakit diabetes.

Penipuan itu mengancam nyawa orang awam khususnya pesakit diabetes kata beberapa pakar. Mereka berkata, rakaman itu menggunakan imej hampir sama dengan wajah pakar kesihatan popular di televisyen Bri­tain, Michael Mosley.

Mosley sebenarnya meninggal dunia pada awal tahun ini.

Seorang doktor Britain, John Cormack berkata: “Orang ramai seperti mempercayai video-vi­deo sedemikian.

“Ramai doktor (palsu) dalam video tersebut. Mereka yang terlibat meluangkan banyak masa untuk mencipta imej yang boleh diyakini oleh orang awam.

“Ini menyebabkan penipu-penipu (scammer) yang terlibat menyebarkan video tersebu dipercayai walaupun mereka membuat dakwaan (penawar kesihatan) luar biasa,” kata Cormack yang pernah bekerja bersama jurnal perubatan, British Medical Journal (BMJ).

Seorang pakar AI, Henry Ajder berkata, penyamaran doktor-doktor palsu itu benar-benar berlaku pada tahun ini.

Video AI terbabit biasanya menyasarkan penonton yang le­bih berusia dengan memalsukan identiti doktor yang kerap muncul di televisyen, katanya.

Seorang doktor di Perancis, Michel Cymes yang kerap muncul di televisyen negara itu memberitahu AFP pada Mei lalu bahawa dia sedang mengambil tindakan undang-undang terhadap pemilik Facebook, Meta mengenai penipuan yang menggunakan imejnya.

Sementara itu, seorang pengamal perubatan di Britain, Hilary Jones juga mengupah penyiasat persendirian untuk menjejaki doktor palsu yang menyerupai dirinya.

Dalam satu rakaman video itu, Jones digambarkan menjual ubat palsu untuk tekanan darah tinggi dan bahan lekit yang mengan­dungi ganja.

“Walaupun video ini telah dipadamkan, ia muncul pada hari berikutnya menggunakan nama yang berbeza,” kata Jones kepada BMJ.

Seorang ahli akademik Perancis dan pakar AI, Frederic Jurie memberitahu, kemajuan terkini dalam teknologi AI telah menjadikan kualiti imej, audio dan video palsu kelihatan lebih me­yakinkan.

“Ketika ini, kami mempunyai akses kepada berpuluh-puluh bilion imej dan kami dapat membina algoritma yang boleh memodelkan semua (manusia). Inilah yang kami namakan teknologi AI generatif,” katanya.

Kemunculan seorang penyelidik Perancis yang kontroversi, Didier Raoul yang sebelum ini dituduh menyebarkan maklumat mengelirukan tentang ubat Co­vid-19 juga telah digunakan dalam beberapa video palsu.

Seorang promoter kesihatan Australia, Barbara O’Neill telah digambarkan secara palsu menjual pil yang didakwa mampu membersihkan saluran darah dalam satu klip video yang disiarkan di platform TikTok.

Dia sebelum ini dikutuk sekeras-kerasnya kerana mendakwa bahawa soda penaik boleh menyembuhkan kanser.

Ketika dihubungi AFP, suaminya Michael O’Neill kesal bahawa ramai orang yang tidak beretika menggunakan nama isterinya untuk menjual produk yang isterinya sendiri tidak pernah mengesyorkannya. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI