PETALING JAYA – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) melalui Agrobank melancarkan Skim Perlindungan Takaful Agromakanan: Skim Takaful Tanaman Padi (STTP) pertama di Malaysia yang akan dimanfaatkan oleh pesawah di Malaysia.
Bantuan tersebut antara lain adalah bagi pesawah di seluruh negara apabila hasil yang diusahakan mereka dilanda bencana alam seperti banjir dan kemarau atau diserang penyakit tanaman serta makhluk perosak.
STTP merupakan perlindungan patuh shariah pertama diperkenalkan di Rantau Asia Tenggara ini diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di bawah Belanjawan 2024 dengan dana permulaan RM50 juta bagi memberi perlindungan kepada pesawah.
Menurut Presiden dan juga Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, perlindungan takaful ini menawarkan sehingga RM3,000 untuk bencana alam.
“Manakala bagi serangga perosak dan penyakit tanaman perlindungan sehingga RM1,500 daripada jumlah perlindungan asal semusim per hektar bagi setiap pesawah – ia jumlah yang lebih tinggi berbanding tabung bencana sedia ada.
“Bagi tahun pertama pengenalannya, kerajaan menanggung sepenuhnya bayaran premium sebanyak RM120 setahun bagi setiap hektar untuk dua musim penanaman,” katanya melalui satu kenyataan hari ini.
Jelasnya lagi, skim tersebut terbuka kepada semua pesawah individu di seluruh negara yang mendaftar dengan agensi yang diiktiraf Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.
“Kaedah pendaftaran juga dipermudahkan dengan pesawah individu hanya perlu mendapatkan borang takaful di pejabat Pertubuhan Peladang Kawasan berhampiran.
“Ini membuktikan keprihatinan kerajaan dalam membantu pesawah di seluruh negara ketika menghadapi bencana alam disamping memperkukuh rantaian makanan negara melalui inisiatif dilancarkan KPKM melalui Agrobank,” katanya.
Untuk maklumat lanjut mengenai Skim Takaful Tanaman Padi, sila layari www.agrobank.com.my atau boleh berkunjung ke cawangan Agrobank yang berdekatan. – KOSMO! ONLINE.