fbpx

Pearly-Thinaah makin hampiri gelaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PEARLY-Thinaah mengulangi pencapaian musim lalu apabila mengesahkan slot final Terbuka Hong Kong selepas menundukkan gandingan Korea Selatan semalam.

BEREGU wanita negara, Pearly Tan-M. Thinaah mengulangi pencapaian musim lalu apabila sekali lagi menjejakkan kaki ke perlawanan akhir pada Kejohanan Badminton Terbuka Hong Kong yang merupakan saingan Jelajah Dunia Super 500.

Pada aksi separuh akhir yang berlangsung di Hong Kong Coliseum, Kowloon semalam, beregu No. 8 dunia itu menyingkirkan pilihan utama kejohanan dari Korea Selatan, Baek Ha Na-Lee So Hee menerusi kemenangan 22-20, 17-21, 21-15.

Lebih manis, ia merupakan kemenangan kedua berturut-turut yang dilakar ke atas pasangan No.2 dunia itu selepas mereka turut melakukannya di separuh akhir Terbuka Korea dua minggu lalu.

Walaupun gembira dengan kejayaan melangkah ke perlawanan akhir, namun Thinaah enggan terlalu meraikannya kerana percaya mereka memiliki tugas yang belum selesai apabila turun beraksi di pentas final hari ini.

“Sudah tentu kami sangat gembira kerana dapat melangkah ke perlawanan akhir dua kali berturut-turut di Terbuka Hong Kong. Bagaimanapun, kami masih ada satu lagi perlawanan, jadi perlu kekalkan fokus.

“Kami baru sahaja bertemu mereka (Ha Na-So Hee) sebelum ini, jadi tidak banyak ubah corak permainan. Mereka beri tekanan, terutamanya di set kedua tetapi kami gembira kerana masih mampu melayakkan diri,” katanya kepada BWF selepas tamat perlawanan.

Selain memburu gelaran pertama musim ini, Pearly-Thinaah juga berpeluang untuk menamatkan kemarau kejuaraan hampir dua tahun selepas kali terakhir mereka memenangi kejohanan Jelajah Dunia adalah di Terbuka Perancis pada Oktober 2022.

Dalam pada itu, Thinaah menjelaskan, antara faktor kemenangan mereka ke atas Ha Na-So Hee adalah corak permainan agresif selain persefahaman yang cukup baik antara dia dan Pearly ketika di dalam gelanggang.

“Saya fikir permainan agresif membantu kami mendapatkan mata. Selain itu, antara faktor lain adalah kami percaya antara satu sama lain selain banyak berkomunikasi sepanjang perlawanan,” ujarnya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI