PETALING JAYA – Penyerang baharu Selangor FC, Ali Olwan teruja apabila dapat meledak gol pada debut pertama selepas membantu Gergasi Merah menewaskan Kuching City 4-0 dalam saingan Liga Super semalam.
Pada aksi tersebut, empat pemain import Gergasi Merah mempamerkan aksi dalam kelas tersendiri selepas Ronnie Fernandez, Olwan, Umar Eshmurodov dan Alvin Fortes untuk menghadiahkan tiga mata buat tuan rumah.
“Saya gembira apabila dapat beraksi buat kali pertama selain berjaya menjaringkan gol buat pasukan.
“Terima kasih kepada penyokong yang hadir menaikkan semangat kami di atas padang,” kata pemain kelahiran Jordan itu.
Keputusan tersebut sekali gus menyaksikan Selangor sudah melupakan kekalahan pahit 1-6 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi kompetitif terakhir saingan final Piala FA, bulan lalu.
Skuad Merah Kuning akan bertandang ke Bangkok untuk menentang Muangthong United pada Khamis depan dalam aksi pertama Kumpulan H saingan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2). – KOSMO! ONLINE