fbpx

‘Bukan tuntut bayaran tetapi mahu beri Noraniza Idris pengajaran’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PENGALAMAN bekerja dengan penyanyi Noraniza Idris buka mata Anwar untuk minta bayaran pendahuluan sebelum memulakan sesuatu tugasan.

KUALA LUMPUR – Biarpun pernah diingatkan agar berhati-hati jika ingin bekerja dengan penyanyi Noraniza Idris, bekas pengarah dan penulis skrip konsert Qalam Noraniza Idris iaitu Anwar Rusdini bagaimanapun tidak mempedulikan nasihat tersebut.

Kata Anwar, dia tidak mempercayai kata-kata negatif yang dilemparkan kepada penyanyi kegemarannya itu selain meletakkan keyakinan tinggi bahawa perkara tersebut sekadar khabar angin.

“Saya bersangka baik. Mungkin itu salah saya walaupun ada kawan-kawan (rakan industri) yang menasihati agar saya berhati-hati. Tetapi ada juga mereka yang mengatakan mungkin dia (Noraniza) sudah berubah dan berbeza sekarang.

“Ada juga yang mengatakan mereka tumpang gembira apabila saya mendapat peluang untuk bekerja dengan penyanyi profesional seperti dia, apatah lagi saya secara peribadi sangat mengidolakan dia.

“Tentu saja saya berasa sangat gembira dan berbangga apabila berpeluang bekerjasama dengan orang yang kita minat sejak sekian lama dan yakin apa dikatakan mereka itu tidak benar,” jelasnya ketika ditemui dalam sidang media teater Kerana Percayakan Siti di sini, semalam.

Dalam pada itu, Anwar turut memberitahu tujuan dia memberikan kenyataan kepada media bukan kerana ingin menuntut bayaran tugasnya sebagai penulis skrip sebaliknya berharap agar Noraniza bersikap lebih profesional dan tidak mengambil kesempatan terhadap pengkarya seperti dirinya.

“Saya bukan tuntut bayaran tetapi niat saya untuk beri pengajaran kepada dia supaya tidak melakukan sesuka hati terhadap orang. Hanya kerana saya dianggap ‘orang baharu’ pada pandangan dia. Saya juga tidak mahu memburuk-burukkan dia dan tidak kisah apa yang dia telah cakap tentang saya,” ujarnya.

Biarpun berdepan kontroversi, Anwar tidak gentar kerana rezekinya dalam bidang seni tidak terkesan.

Malah, dia turut menjadikan pengalaman itu sebagai pengajaran agar tidak melakukan tugasan tanpa mendapatkan bayaran pendahuluan terlebih dahulu.

“Alhamdulillah rezeki saya tetap ada. Sama juga seperti pementasan Kerana Percayakan Siti yang sebelum ini saya terpaksa ketepikan tetapi sekarang dapat terlibat.

“Saya tidak menyesal dengan apa yang berlaku tetapi dapat belajar sebab apa-apa pun kerja kita kena minta bayaran pendahuluan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Anwar bakal muncul dalam pementasan teater Kerana Percayakan Siti pada 4 hingga 6 Oktober 2024 di Blackbox Damansara Performing Arts Centre(DPAC), Petaling Jaya.

Selain Anwar, teater arahan Afiza Asram turut dibintangi Nadia Brian, D’Boy Hamdan, Farah Ahmad, Sharifah Sofia, Firdaus Karim dan Swarna Naidu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI