PETALING JAYA – “Nak masuk tol sesak, keluar tol makin sesak. Selamat berjuang yang nak ke Pantai Timur hari ini. 14 jam tak lari,” itu antara komen yang ditinggalkan pengguna apabila terperangkap di dalam kesesakan menuju ke Pantai Timur ketika ini.
Semakan Kosmo! di Facebook Astro Radio Trafik mendapati, aliran trafik dari Plaza Tol Gombak ke Pantai Timur sesak berikutan orang ramai yang mula pulang ke kampung sempena cuti hujung minggu dan cuti sekolah selama seminggu bermula hari ini.
Terdapat kesesakan sejauh 20 kilometer (km) dari Gombak ke Bukit Tinggi disebabkan pertambahan jumlah kenderaan menuju ke Pahang, Kelantan dan Terengganu.
Sementara itu, di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2), jangkakan kelewatan selama sejam dari Bulatan Batu Caves dan Bukit Antarabangsa menuju ke Plaza Tol Gombak disebabkan aliran trafik tinggi di Lebuh Raya Kuala Lumpur – Karak. – KOSMO! ONLINE