PETALING JAYA – Seramai 434 individu ditahan semalam selepas dikesan gagal mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menerusi Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, menerusi operasi berkenaan, sebanyak 47,441 pemeriksaan telah dilakukan semalam bagi memantau dan menguatkuasakan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) PKP.
“Daripada 434 yang ditahan itu, 422 telah dikenakan tindakan kompaun manakala 12 inidividu lagi sedang direman.
“Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (153), aktiviti pusat hiburan (149), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (68), tidak memakai pelitup muka (60) dan lain-lain (4),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, pasukan operasi pematuhan turut melakukan pemantauan di 3,614 pasar raya, 4,662 restoran serta 1,804 penjaja, 1,245 kilang, 3,293 bank dan 437 pejabat kerajaan.
“Turut dipantau adalah sebanyak 948 terminal pengangkutan darat, 233 terminal pengangkutan air serta 72 terminal pengangkutan udara,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, setakat 24 Julai lalu sehingga semalam, seramai 96,924 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa.
“Kesemua yang pulang ini telah ditempatkan di 76 buah hotel dan 16 Institut Latihan Awam (ILA) serta Institut Pengajian Swasta di seluruh negara.
“Daripada jumlah itu, seramai 7,490 individu sedang menjalani proses Kuarantin Wajib manakala 540 individu telah dihantar ke hospital untuk rawatan dan 88,894 individu lagi telah dibenarkan pulang,” jelas beliau.
Difahamkan, kesemua individu berkenaan pulang dari 36 negara iaitu Filipina, Thailand, Indonesia, Kemboja, Singapura, Vietnam, Brunei, Laos, Qatar, Pakistan dan Arab Saudi. – K! ONLINE