SERDANG – Inovasi dan kemajuan teknologi berkaitan industri beras antara yang ditonjolkan oleh Padiberas Nasional Berhad (Bernas) sepanjang penganjuran Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) sekali gus usaha menarik golongan muda terlibat dalam sektor tersebut.
Menerusi acara berlangsung di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini, Bernas berkongsi maklumat tentang Program Smart Sawah Berskala Besar (Smart SBB), manakala Galeri Padi Bernas turut mempamerkan pelbagai jenis beras negara di samping aktiviti menarik disediakan kepada pengunjung.
Ketua Pengarah Kawal Selia Padi dan Beras, Datuk Azman Mahmod berkata, Bernas juga merupakan penaja utama terbesar di Laman Padi, MAHA 2024 dengan kali ini ia berkonsepkan pengiktirafan kepada kira-kira 215,000 pesawah di seluruh negara.
“Pesawah ini kita kumpulkan di Laman Padi MAHA 2024 supaya mereka ini dijadikan sebagai pesawah pahlawan kita. Tanpa pahlawan, kita tak ada padi dan beras.
“Kita tunjuk kepada masyarakat antaranya, penanaman padi di Sekinchan, Selangor terbaik di negara ini, selain kita bawakan padi putih, padi wangi, padi pulut Langkawi serta padi huma,” katanya kepada media selepas program ‘Dari Dapur Bernas’ di Laman Padi, MAHA 2024 di sini hari ini.
Beliau berkata, selain pendedahan dan maklumat, pelbagai aktiviti menarik kepada pengunjung turut diadakan, antaranya menanam padi serta sukan rakyat sebagai usaha menghargai pesawah serta mereka yang terlibat dalam industri padi dan beras.
“Kita tak nak generasi akan datang bila panggil padi adalah pokok beras. Kita nak mereka tahu, nasi kita makan itu daripada padi.
“Malah, kita turut mengadakan aktiviti menangkap ikan di sawah padi di sini, selain ada acara lelongan beras pada 21 dan 22 September nanti,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Bernas, Datuk Seri Rohani Abdul Karim mengajak orang ramai berkunjung ke Laman Padi di MAHA 2024 dalam mendapatkan maklumat dan pendedahan mengenai padi dan beras.
“Mereka didedahkan mengenai evolusi padi dan beras, proses penanaman sehingga menjadi beras dan sebagainya. Kita juga tonjolkan kaedah moden dan pelbagai bagi penghasilan jenis-jenis beras,” katanya.
Pada program ‘Dari Dapur Bernas’, Rohani turut menyediakan masakan nasi goreng dabai yang menjadi hidangan popular dalam kalangan masyarakat Sarawak.
MAHA 2024 diadakan pada 11 hingga 22 September ini dengan tema ‘Harvesting Tomorrow Where Dreams Blossom’, atau menuai harapan membina masa hadapan. – KOSMO! ONLINE.