PETALING JAYA – Kerajaan hari ini bersetuju untuk menamatkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Depot Tahanan Imigresen Langkap dan Kuarters Daerah Hilir, Perak lebih awal daripada yang telah dijadualkan.
Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan untuk menamatkan PKPD di lokaliti tersebut dibuat atas nasihat Kementerian Kesihatan (KKM) susulan trend penurunan kes positif Covid-19 di kawasan berkenaan.
“Sebelum ini kerajaan bersetuju untuk melaksanakan PKPD di Depot Tahanan Imigresen Langkap dan Kuaters Daerah Hilir, Perak dan dijadualkan akan tamat pada 14 Januari depan.
“Bagaimanapun, atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju untuk menamatkan PKPD di sana pada hari ini, lebih awal daripada yang dijadualkan susulan trend penurunan kes positif Covid-19 serta tiada lagi sampel yang masih menunggu keputusan,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, sehingga kini, KKM telah selesai melaksanakan ujian saringan ke atas semua tahanan dan kakitangan.
Dalam perkembangan berasingan, Ismail Sabri berkata, seramai 43 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan seorang tekong telah ditahan semalam menerusi Ops Benteng yang melibatkan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (Aksem).
“Sebanyak 105 Sekatan Jalan Raya (SJR) turut dilaksanakan semalam iaitu Ops Penawar (41 SJR), Ops Benteng PDRM (55 SJR) dan Ops Benteng Aksem (9 SJR).
“Kerajaan akan berterusan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi-agensi penguatkuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong-lorong tikus,” tegas beliau.
Ops Benteng berperanan mengawal ketat sempadan negara secara bersepadu daripada dibolosi PATI bagi mengekang jenayah rentas sempadan selain menyekat penularan wabak Covid-19. – K! ONLINE