GEORGE TOWN – Nasib seorang anak nelayan yang berdepan kesukaran untuk melanjutkan pengajiannya di Universiti Sains Malaysia (USM) akibat masalah kewangan keluarga akhirnya mendapat perhatian pihak universiti itu, semalam.
Naib Canselornya, Profesor Datuk Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed berkata, pihaknya telah mengambil langkah proaktif untuk berhubung terus dengan bakal penuntut terbabit, Wan Nur’alyaa Syaza Awang, 20 bagi membantu merealisasikan hasratnya bergelar mahasiswa di USM.
Menurutnya, pihak universiti telah menghantar wakil bagi menyalurkan sumbangan ihsan berbentuk wang tunai menerusi Pusat Islam dan Bahagian Hal Ehwal Pembangunan dan Alumni (BHEPA) dan kit keperluan asas pelajar baharu turut diserahkan sebagai persediaan ke USM nanti.
“Dengan bantuan yang diberikan oleh pihak USM sedikit sebanyak mengurangkan beban kewangan yang dihadapi oleh mereka seterusnya menguatkan semangatnya untuk menggenggam segulung ijazah di USM,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Sementara itu, Wan Nur’Alyaa memberitahu, dia sangat terharu dan gembira apabila pihak USM sendiri turun padang untuk menyalurkan sendiri bantuan kepadanya.
“Dari dahulu saya memang bercita-cita untuk melanjutkan pelajaran di USM. USM sebuah universiti yang disegani dan mempunyai perkhidmatan pendidikan yang berkualiti, dan apabila ditawarkan untuk melanjutkan pelajaran ke USM, saya terus menerimanya,” ujarnya.
Tambah Wan Nur’alyaa, perasaannya bercampur baur setelah menyedari abang sulungnya terpaksa menyewa kenderaan lain untuk tujuan menghantarnya ke USM Pulau Pinang memandangkan kenderaan yang sedia ada sudah usang dan perlu pembaikian yang menelan kos yang tinggi.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan anak bongsu daripada empat beradik itu sukar untuk menyambungkan pengajian menerusi program Pengajian Sarjana Muda Sastera USM kerana bapanya tidak mampu menyediakan perbelanjaan ke universiti tersebut.
Kehadirannya ke pada hari pendaftaran di USM 4 Oktober ini sememangnya bergantung dengan kemampuan bapanya yang tidak mempunyai pendapatan yang tetap sebagai nelayan.
Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Cherang Ruku di Kelantan itu memperoleh Purata Nilai Gred Keseluruhan 3.92 dalam STPM 2023. – KOSMO! ONLINE