PETALING JAYA – Melalui fasa kehamilan pertama, bekas anggota kumpulan Dolla, Syasya Rizal mengakui mengalami perubahan emosi yang ketara sehingga adakalanya boleh menangis tanpa sebab.
Syasya atau nama sebenarnya Norsyasya Afiqah Shahrizal, 23, turut mendedahkan kerap berasa sunyi biarpun di sekelilingnya ada ramai orang.
“Awak semua tahu tak apa yang orang tidak dedahkan ketika mereka hamil iaitu tentang rasa sunyi.
“Walaupun ada orang yang di sekeliling menyokong dan menemani tapi pengalaman ini, diri sendiri sahaja akan lalui.
“Kadangkala akan rasa sangat beremosi ketika hamil. Perkara kecil pun boleh buat menangis. Entahlah, pelik juga,” katanya dalam hantaran TikTok.
Menurut Syasya lagi, ketika ini sokongan insan terdekat sangat penting untuk ibu hamil mendepani emosi turun naik.
“Sebab itu sangat penting untuk ada ‘support system’ yang boleh bagi kita semangat,” ujarnya.
Menerusi video dimuat naik, Syasya yang sedang bersolek memaklumkan mahu keluar melakukan rawatan kesihatan dan kecantikan kuku.
Katanya, ketika fasa ini dia sukar untuk menjalani aktiviti rutin bahkan enggan keluar sendirian seperti dahulu kerana berasa tidak selamat.
“Hari ini saya nak pergi potong kuku. Sejak hamil, melakukan rawatan kuku (tangan dan kaki) seperti satu ‘peperangan’ dengan diri sendiri.
“Jadi saya putuskan untuk dapatkan rawatan dan meluangkan masa untuk diri sendiri walaupun saya tidak suka keluar bersendirian.
“Sebab saya rasa seperti tidak dilindungi,” katanya.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen berasakan situasi dilaluinya adalah perkara normal buat seorang wanita hamil berikutan perubahan hormon.
“Perasaan seperti itu memang biasa untuk bakal ibu. ‘Enjoy’ saja fasa ini,” kata seorang pengikutnya.
“Jangan risau, anda tidak berseorangan. Tapi inilah kenangan terindah bagi seorang wanita,” tulis netizen lain.
Terdahulu, selepas beberapa bulan mengunci mulut, Syasya Rizal akhirnya mengesahkan dirinya bakal menimang cahaya mata sulung tidak lama lagi.
Syasya dan suaminya, Nasrullah Mohd. Sapie berkongsi berita gembira tersebut menerusi sebuah hantaran Instagram, baru-baru ini.
Begitupun, mereka tidak mendedahkan usia kandungan yang sudah menperlihatkan ‘baby bump’.
Syasya melangsungkan pernikahan dengan Nasrullah dalam sebuah majlis tertutup pada 21 April lalu. – KOSMO! ONLINE