Oleh MOHD. SHAHRULANOOR ISHAK
KUANTAN – Seramai 2,838 mangsa banjir dipindahkan ke 64 pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh Pahang setakat pukul 5.30 petang tadi.
Sumber Jabatan Kebajikan Masyarakat berkata, jumlah mangsa berkenaan melibatkan 744 keluarga di sembilan daerah.
Menurut sumber, Kuantan mencatat bilangan mangsa terbanyak iaitu 772 orang daripada 204 keluarga ditempatkan di lapan PPS.
Maran pula mencatat kedua tertinggi dengan 516 mangsa daripada 132 keluarga di lapan PPS dan diikuti Raub melibatkan 439 orang membabitkan 111 keluarga di 26 PPS.
Selain itu, Jerantut merekodkan 347 mangsa melibatkan 92 keluarga di enam PPS serta Rompin dengan 358 mangsa daripada 92 keluarga di enam PPS.
Daerah Temerloh pula mencatat 273 mangsa daripada 79 keluarga di lima PPS dan diikuti Lipis dengan 35 mangsa melibatkan 12 keluarga di dua PPS.
Dua PPS dibuka di Pekan menempatkan 53 mangsa daripada 14 keluarga, manakala satu PPS di Bentong melibatkan lapan keluarga dengan 45 mangsa.
Semua mangsa sedang diberikan bekalan makanan serta bentuk bantuan-bantuan lain daripada pihak JKM secara berperingkat.
Sehingga pukul 5 petang tadi, semua daerah berkenaan masih menerima taburan hujan lebat yang dijangka berlanjutan hingga Selasa ini.
Sementara itu, sungai-sungai utama di negeri ini dilaporkan telah melepasi paras bahaya melibatkan Sungai Lipis di Lipis dan Raub, diikuti Sungai Kuala Gandah di Temerloh.
Sumber Jabatan Pengairan dan Saliran berkata, turut melepasi paras bahaya ialah Sungai Pahang di Jerantut serta Sungai Lepar dan Sungai Lembing di Kuantan.
Dalam perkembangan berkaitan, bilangan mangsa di daerah terlibat dijangka terus meningkat berikutan Jabatan Meteorologi telah mengeluarkan amaran hujan sangat lebat berterusan hingga Selasa ini. – K! ONLINE