fbpx

‘Puntianak tak semestinya cantik, kurus’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AYA Kamarudin dan Dottie merupakan pelakon utama filem Pontianak 200kg.

PUNTIANAK tidak semestinya cantik sahaja!

Sepertinya ‘tradisi’ itu yang cuba dipecahkan pengarah Shuhaimi Lua menerusi filem terbaharunya, Pontianak 200 kilogram (kg).

Idea tersebut tercetus selepas melihat kejayaan telefilem Pontianak 100kg yang ditayangkan menerusi platform penstriman Tonton tahun lalu.

Dibawakan oleh Primeworks Studios dan Metrowealth, Shuhaimi berkata, naskhah tersebut bukan berniat untuk merendahkan golongan wanita berbadan besar, sebaliknya cuba untuk lari daripada filem hantu klise yang sering mengetengahkan imej perempuan cantik.

“Masyarakat sering dimomokkan dengan puntianak cantik dan kurus tetapi hakikatnya kita sendiri tak tahu bentuk atau rupa sebenar hantu tersebut.

“Jadi, memang saya sengaja mengetengahkan wanita berbadan besar, sekali gus meraikan kepelbagaian saiz dan rupa dalam sebuah filem tempatan,” katanya.

PONTINAK 200kg menjadi penanda aras buat Shuhaimi (kiri) dalam menghasilkan karya hiburan dan bermanfaat buat penonton.

Melihat beberapa babak ‘familiar’, Shuhaimi mengakui Pontianak 200kg disuntik dengan beberapa elemen dan magis seperti yang pernah diketengahkan dalam karya arahan pengarah hebat, Allahyarham Mamat Khalid.

“Saya cuba mengadaptasikan beberapa elemen yang sinonim dalam filem Mamat Khalid untuk filem ini seperti babak berlari beramai-ramai. Sebenarnya saya amat mengagumi karya arwah.

“Tidak meniru 100 peratus tetapi hanya menjadikan inspirasi untuk beberapa babak sahaja dan saya masih mengekalkan keaslian tema utama filem ini.

“Bagi saya, arwah mempunyai idea cukup unik dan luar biasa” katanya lagi.

Menurut Shuhaimi, proses penggambaran filem Pontianak 200kg dijalankan di Ijok, Selangor.

“Lokasi ini dipilih untuk memberikan latar yang tepat, sesuai dengan elemen seram komedi yang dihidupkan dalam filem ini.

“Filem Pontianak 200kg adalah satu penanda aras buat saya untuk terus mengarah filem yang memberi hiburan dan manfaat kepada orang ramai,” katanya.

Menurut Shuhaimi, sepanjang menyiapkan filem tersebut, dia dan seluruh pasukan produksi berdepan pelbagai cabaran termasuk berdepan dengan faktor cuaca.

“Cabaran dalam menghasilkan filem ini adalah berdepan cuaca tidak menentu sebab musim hujan.

“Memang agak mencabar juga buat kami, tapi alhamdulilah semuanya berjalan lancar,” katanya lagi.

Barisan pelakon dan kru filem seram komedi garapan Shuhaimi Lua (jaket cokelat) berjudul Pontianak 200kg yang mula ditayangkan 5 September lalu. – AMIR KHALID

Berkongsi tentang pemilihan pelakon, dia berkata, Aya Kamarudin dan Dottie merupakan pilihan tepat untuk dua karakter utama pontianak.

“Memilih mereka untuk dua watak tersebut memang tepat dan hasilnya memuaskan hati.

“Mereka juga memang memenuhi kriteria terutama sebagai puntianak berbadan besar. Syukur mereka dan barisan pelakon lain berikan komitmen yang bagus untuk filem pertama saya ini,” kongsinya.

Penampilan khas

Selain Aya dan Dottie, filem bergenre seram komedi itu turut dibintangi penyanyi popular, Ziana Zain sebagai penampilan istimewa.

Mengakui teruja dapat kembali berlakon, Ziana berkata, dia menerima tawaran tersebut kerana jalan cerita dan keunikan wataknya iaitu sebagai Kemboja yang juga merupakan seorang jururawat.

ZIANA teruja membawakan watak Kemboja yang bekerja sebagai jururawat. 

“Pada saya ini satu tawaran menarik dan memberikan saya muncul dalam sisi berbeza. Watak Kemboja sangat menarik dan misteri.

“Tidak kiralah babak saya banyak atau tidak, paling penting, watak berkenaan mampu memberi impak terhadap jalan cerita.

“Saya juga sangat seronok dapat berkerja dengan Shuhaimi dan barisan pelakon lain. Jadi, berilah peluang untuk naskhah tempatan sebegini,” tuturnya.

Naskhah yang mula ditayangkan sejak 5 September lalu di pawagam seluruh negara itu turut dibintangi pelakon hebat lain seperti Ropie, Niezam Zaidi, Wanns Ahmad dan Malia Baby.

Filem tersebut mengisahkan penduduk Kampung Terbalik menjadi mangsa serangan Pontianak Melati lakonan Aya dan Pontianak Mewangi (Dottie) yang mencari makanan kerana sentiasa kelaparan.

Konflik semakin memuncak apabila ramai penduduk menjadi mangsa serangan pontianak sehingga ‘koma’ dan kejadian tersebut membuatkan sekumpulan orang kampung berusaha merungkai misteri tersebut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI