fbpx

Kontraktor dewan makan MRSM Taiping ditamat kontrak, disaman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

PETALING JAYA – Kontraktor yang dilantik menguruskan dewan makan di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Taiping akan berdepan dengan tindakan penamatan kontrak.

Memaklumkan perkara itu, Pengerusi Majlis Ama­nah Rakyat (Mara), Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kontraktor tersebut juga akan berdepan dengan tindakan saman dan tuntutan ganti rugi melalui mahkamah sebagai iktibar untuk kontraktor lain.

“Saya juga telah mengarahkan semua MRSM terutamanya pengetua dan warden/penyelia asrama untuk melipatgandakan pemantauan terhadap kualiti makanan agar memenuhi spesifikasi dan menu yang ditetapkan.

“Selain itu, mereka juga perlu memantau kebersihan dapur dewan selera, perkhidmatan kontraktor dan laporkan terus kepada ibu pejabat Mara untuk sebarang bentuk penyimpangan,” katanya di laman Facebook.

Mengulas lanjut, Asyraf berkata, beliau sendiri akan turun secara mengejut melalui kaedah terjahan dari semasa ke semasa.

“Kalau ada juga kecuaian pemantauan di pihak pentadbir MRSM, saya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas dan mempertanggungjawabkan mereka juga jika berlaku sebarang kes penyimpangan,” katanya.

Sebelum ini, Kementerian Kesihatan (KKM) telah mengeluarkan notis penutupan terbaharu dewan makan MRSM Taiping selama 14 hari hingga 20 September depan.

Asyraf berkata, arahan juga telah diberikan kepada Bahagian Perundangan Mara untuk memperhalusi segala aspek bagi mengambil tindakan ke atas kontraktor berkenaan.

“Difahamkan, kontraktor ini kali pertama dengan Mara dan kontraknya akan tamat pada Disember ini.

“Tindakan segera akan diambil bagi menamatkan kontrak mereka berserta tindakan undang-undang. Ini juga bagi memberi isyarat kepada kontraktor lain agar jangan sesekali mengambil pendekatan sambil lewa dan cincai,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI