fbpx

Speedy Tigers bangkit tebus maruah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NORSYAFIQ (tengah) berjaya menjaringkan satu gol dalam kemenangan 5-4 ke atas Jepun hari ini. - MHC

PETALING JAYA – Skuad hoki negara bangkit menebus aib kekalahan teruk di tangan India semalam dengan kemenangan 5-4 ke atas Jepun pada aksi keempat Trofi Juara-Juara Asia (ACT) 2024 di Inner Mongolia, China hari ini.

Ia sememangnya melegakan kem Speedy Tigers yang berhasrat untuk melangkah ke separuh akhir susulan kekalahan memalukan 1-8 kepada India semalam sekali gus merakam kemenangan pertama pada edisi kali ini.

Bagaimanapun, ketua jurulatih, Sarjit Singh terpaksa membayar harga mahal terhadap kemenangan itu disebabkan kecederaan menimpa beberapa pemain sekali gus menyukarkan peluang untuk aksi terakhir liga sepusingan menentang Korea Selatan pada Sabtu ini.

“Kemahuan, usaha yang baik dipamerkan semua pemain walaupun adakalanya membuat beberapa kesilapan di atas padang. Pasukan berhak untuk menang hari ini.

“Untuk menjaringkan lima gol di peringkat antarabangsa sebenarnya adalah sesuatu yang baik. Namun, jika pemain mengambil setiap peluang yang adam sudah pasti pasukan dapat menjaringkan lebih banyak gol hari ini.

MALAYSIA wajib menang ke atas Korea Selatan dalam aksi terakhir liga sepusingan pada Sabtu ini untuk mengesahkan slot separuh akhir. – MHC

“Pemain perlu mendapatkan rehat sehari yang cukup esok. Barisan kejurulatihan akan membuat persiapan untuk perlawanan terakhir bertemu Korea (Sabtu ini).

“Korea sebuah pasukan yang bagus. Kami perlu membuat persiapan yang rapi untuk bertemu mereka. Hanya kemenangan yang akan menjamin pasukan untuk layak ke semi final,” kata Sarjit.

Dalam aksi itu, Malaysia di ranking ke-13 dunia, menjaringkan dua gol melalui Syed Syafiq Syed Cholan dan Norsyafiq Sumantri pada minit ke-12 serta 21.

Bagaimanapun, Jepun, No.15 dunia, bangkit mendahului 3-2 dengan tiga gol hasil dua jaringan Ken Nagayoshi (m-24, m-28) dan satu daripada Tsubasa Tanaka pada minit ke-36.

Enggan kalah buat kali ketiga berturut-turut selepas tewas kepada China dan India dalam dua aksi terdahulu, Speedy Tigers berjaya menambah tiga lagi gol dalam tempoh lapan minit melalui Syed Syafiq (m-40), Syarman Mat Tee (m-47) dan Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal pada minit ke-48.

Biarpun Jepun meledak jaringan keempat menerusi Kazumasa Matsumoto pada minit ke-51, tetapi ia sudah terlewat untuk menghalang kemenangan 5-4 Malaysia. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI